Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hanipa minta rakyat sabar tunggu 'akta zalim' dimansuhkan
Diterbitkan:  Jul 22, 2018 12:12 PM
Dikemaskini: 4:17 AM

Timbalan menteri undang-undang Hanipa Maidin meminta semua pihak bersabar menunggu kerajaan memansuhkan undang-undang yang dilihat zalim, seperti yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN).

Hanipa berkata, usaha itu akan mengambil masa berikutan "banyak sangat kerosakan" yang ditinggalkan pentadbiran lalu yang perlu dibetulkan mereka.

Menurutnya, tujuannya menyuarakan permintaan itu adalah selepas menerima memorandum daripada sebuah NGO baru-baru ini agar kerajaan meminda Seksyen 13 Sosma - yang menghalang tahanan akta itu diikat jamin - pada sesi parlimen yang sedang berlangsung.

"InsyaAllah saya akan buat yang terbaik untuk merealisasikan hasrat murni rakyat atas kapasiti rasmi saya. Saya percaya ini juga komitmen perdana menteri dan kabinet.

"Saya cuma berharap rakyat dapat bersabar sedikit, seperti kita amat bersebar dengan kerenah BN selama 60 tahun - terlalu banyak kerosakan yang ditinggalkan untuk kita semua.

"Ini bukan alasan tetapi permintaan jujur kami," katanya dalam kenyataan yang disiarkan di Facebook, hari ini.

Antara akta yang dilihat menekan dan termasuk dalam janji HARAPAN untuk dimansuhkan atau dipinda adalah Akta Hasutan 1948, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Antiberita Tidak Benar 2018 dan Akta Kesalahan keselamatan Langkah-langkah Khas 2012 (Sosma).

Anggota parlimen Sepang itu berkata lagi, HARAPAN konsisten menentang undang-undang yang dilihat zalim seperti Sosma dan Akta Hasutan ketika menjadi pembangkang, dan komitmen itu akan diteruskan.

"Saya pernah menjadi peguam kepada tahanan Sosma dan akta drakonian lain. Beberapa menteri hari ini juga pernah menjadi mangsa akta drakonian. Justeru kami tahu dan rasa apa yang keluarga mangsa alami," katanya.

Bagaimanapun, katanya lagi, semua pihak perlu "jujur" dalam menilai janji itu dalam manifesto HARAPAN - bahawa ia tidak termasuk dalam janji 100 hari.

"Saya cuba berlaku jujur kepada para penggubal manifesto. Saya harap kita semua pun sewajarnya begitu," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS