Paling Popular
Terkini

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa meminta agar pihak yang berkenaan tidak mensensasikan isu mengenai agama di negara ini.

Beliau berkata tindakan mereka itu semata-mata bertujuan merendahkan kredibiliti serta mahu menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan.

Katanya kerajaan perlu menjaga sensitiviti berhubung kebebasan beragama kerana Islam tidak memaksa penganut agama lain selain termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang Islam adalah agama Persekutuan manakala agama lain bebas diamalkan.

"Saya minta jangan disensasikan dan saya sudah menjelaskan kenyataan saya mengenai hifzal-din (menjaga agama) dan perkara itu tidak perlu lagi saya jelaskan.

“Malangnya masih ada pihak yang menggunakan isu itu yang seolah-olah saya melakukan dosa besar kononnya saya menyamaratakan agama," katanya pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada 40 fakir miskin di Kampung Sungai Betul Bawah, Tanjung Piandang, di Parit Buntar hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man baru-baru ini yang mendesak agar Mujahid memberi jawapan berhubung kenyataan 'menjaga agama'.

Sokong usul tergempar parlimen

Mengulas lanjut, Mujahid berkata agama lain perlu dihormati serta tidak boleh dianiaya, ditindas dan didiskriminasi kerana perkara itu termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan berdasarkan Perkara 3, 11 dan 8.

Beliau juga tidak menolak isu tersebut akan dibangkitkan pembangkang dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis yang sedang berlangsung.

Sementara itu, Mujahid berkata kerajaan menyokong saranan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) agar sidang Parlimen yang sedang berlangsung membawa usul tergempar mengenai keadaan di Syria, Palestin dan Rohingya.

“Saya fikir tidak susah untuk membawa isu itu untuk dibahaskan di Parlimen dan selepas itu kerajaan boleh mengeluarkan kertas putih sebagai pendirian kerajaan terhadap isu berkenaan,” katanya.

Semalam, Presiden Mapim Mohd Azmi Abdul Hamid dilaporkan menggesa kerajaan Malaysia menyatakan pendirian berhubung isu tersebut menerusi usul tergempar di Parlimen.

- Bernama

Lihat Komen
ADS