Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KM P Pinang: Rakyat tolak strategi BN batal PTMP

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata rakyat menolak strategi Barisan Nasional untuk membatalkan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) yang termasuk tiga lebuh raya dan projek terowong (Pan-Island Link).

Pada pilihan raya umum ke-14 lalu, Chow berkata BN cuba menggunakan isu tersebut sebagai bahan kempen utama untuk membatalkan projek pengangkutan berkenaan.

"Bagaimanapun, rakyat telah membuat keputusan, kamu boleh katakan dengan memberikan kami undi yang besar, mereka (pengundi) tidak bersetuju dengan strategi BN untuk menggunakan undi bagi membatalkan projek ini," kata beliau di Pulau Pinang hari ini.

"Jawapan daripada rakyat cukup jelas tetapi kami terbuka kepada masyarakat setempat yang tidak tahu mengenai pensejajaran semula lebuh raya itu (Pan-Island Link 1, dikenali sebagai PIL1)," maklum Chow selepas hadir sesi taklimat projek jalan raya kepada para anggota parlimen dan ADUN.

Beliau diminta mengulas petisyen kepada kerajaan negeri yang berjudul "Kekalkan keindahan Pulau Pinang tanpa pencemaran dan kesan alam sekitar negatif."

Laporan EIA PIL1

Sekumpulan warga prihatin yang mahu projek berkenaan dibatalkan telah mengusahakan petisyen itu yang setakat ini mendapat 1,000 tandatangan.

Mereka membangkitkan hal tersebut selepas menyemak laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) mengenai cadangan PIL1 (Fasa 1) yang sekarang dipamerkan untuk pemeriksaan orang ramai di Pulau Pinang.

"Daripada maklumat yang diberikan dalam EIA, jelas PIL1 akan memberi kesan buruk kepada orang biasa," kata petisyen itu yang menjelaskan bunyi bising, getaran, kesibukan dan ketidakselesaan semasa tempoh pembinaan sebagai isu pencemaran serius.

Petisyen itu juga mengatakan nilai hartanah akan merosot di sepanjang lebuh raya enam laluan itu dan jalan penghubungnya.

Ia juga berkata "keindahan pemandangan" di Pulau Pinang akan terjejas dengan pembinaan lebuh raya itu.

Ketua menteri berkata keprihatinan petisyen itu akan dikaji.

Penglibatan orang awam

Menurut Chow lagi, misalnya di Sungai Ara, pembinaan lebuh raya akan dibuat dengan pengambilan tanah yang sedikit.

Ditanya jika beliau akan bertemu pihak yang mengusahakan petisyen itu, Chow berkata Pulau Pinang memberikan peluang yang cukup luas kepada orang awam dalam pembuatan keputusan.

"Fasa ini adalah untuk mereka menyuarakan (bantahan), selepas itu kami akan menyusun semua pendapat dan pandangan. Ini tanggungjawab kami untuk menjawab kepada Jabatan Alam Sekitar mengenai kebimbangan masyarakat dan dengan jelas, kami akan terbuka kepada lebih banyak penglibatan orang awam," Jawab Chow.

"Dengan taklimat ini, kami berharap anggota parlimen dan anggota masyarakat akan berkongsi maklumat dengan pengundi mereka. Pasukan projek kami akan berada di sana untuk memberi taklimat kepada masyarakat setempat," katanya.

Wakil daripada tiga lebuh raya dan pembina terowong, Konsortium Zenith Construction Sdn Bhd dan rakan penyampaian projek PTMP, SRS Consortium, turut hadir dalam taklimat tersebut.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS