Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Pemangku Raja K'tan sokong penubuhan Perbadanan Petroleum

Pemangku Raja Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra Sultan Ismail Petra menzahirkan keyakinan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan dapat mengembalikan royalti minyak ke negeri itu.

Titah Dr Tengku Muhammad Fa-iz, baginda juga berbesar hati dengan keputusan yang dibuat kerajaan persekutuan berhubung perkara itu melalui mesyuarat Majlis Kewangan Negara pada 7 Jun lalu.

"Sesuai dengan perkembangan ini, beta menyokong sepenuhnya hasrat kerajaan negeri untuk menubuhkan Perbadanan Petroleum bagi meneroka, mengusaha hasil dan mengurus petroleum di negeri Kelantan dalam usaha mengeratkan lagi hubungan yang baik antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan," titah baginda.

Menurut baginda, dengan terbentuknya kerajaan baru di bawah pimpinan perdana menteri ketujuh itu, banyak perubahan dan penambahbaikan akan dapat dilakukan demi merealisasikan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14, di Kompleks Kota Darul Naim, di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu, Dr Tengku Muhammad Fa-iz berangkat tiba ke Kompleks Darul Naim pada jam 10 pagi dan disambut Ahmad Yakob serta perbarisan hormat oleh Polis Diraja Malaysia.

Sementara itu, dalam titah berkenaan baginda turut berharap agar projek-projek yang diluluskan (di Kelantan)diteruskan oleh kerajaan persekutuan.

"Antara projek terseut adalah menaiktaraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Projek Central Spine Road (CSR) Pakej Kota Bharu - Kuala Krai dan Kuala Krai - Mentara, Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) Fasa Tiga dan Cadangan pembinaan Jambatan Kampung Cina-Palekbang," titah baginda.

Selain itu baginda turut berpesan kepada kerajaan negeri Kelantan agar memperkasakan pelancongan Islam selaras dengan dasar membangun bersama Islam dan seralas dengan program kerajaan negeri.

Baginda bertitah, dengan jumlah kemasukan pelancong hampir enam juta setahun, industri ini dilihat berpotensi untuk terus maju.

"Kelantan juga sebuah negeri yang kaya dengan warisan serta mempunyai penduduk yang ramah.

"Aset-aset sebegini perlu digunakan sebagai alat untuk menyambut pelancong yang tiba di negeri ini.

"Kekuatan warisan seni budaya asli Melayu yang begitu kukuh seperti seni silat jatuh dan dikir barat haruslah dikembangkan dan dipromosi ke seluruh jajahan selaras dengan Pelancaran Tahun Melawat Bandar Kota Bharu Bandar Raya Islam 2018.

"Ia juga akan dapat menjadi pemangkin ke arah mengamit pelancong dari dalam dan luar negara, " jelas Dr Tengku Muhammad Fa-iz.


 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS