Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Azmin terlalu sibuk, belum buat keputusan cabar Anwar

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata beliau masih belum membuat keputusan sama ada akan bertanding jawatan presiden dalam pemilihan parti akan datang kerana “'terlalu sibuk”.

"Saya belum membuat keputusan (untuk bertanding jawatan presiden) kerana terlalu sibuk dengan tugas baru," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas soalan pemberita yang ingin tahu sama ada beliau sudah membuat keputusan untuk bertanding jawatan presiden atau tidak.

Menjelaskan lagi perkara itu, Azmin yang merupakan menteri ekonomi memberitahu sidang parlimen yang sedang berlangsung menjadi keutamaan beliau ketika ini.

Sehubungan itu, beliau berkata menjadi tanggungjawabnya untuk memberi tumpuan kepada sidang Dewan Rakyat bagi membahaskan isu rakyat.

Spekulasi Azmin tanding presiden PKR

"Kita tumpu sidang parlimen (kerana) banyak isu yang dibangkitkan oleh kedua-dua pihak dan sebagai kerajaan baru, saya dan pemimpin bertanggungjawab untuk menjadikan parlimen ini sebagai dewan untuk membahaskan isu rakyat.

"Jadi ia patut diberi keutamaan ketika ini," kata Azmin lagi.

Ketika ini timbul spekulasi Azmin yang juga timbalan presiden PKR ingin bertanding jawatan presiden parti.

Sekiranya ia berlaku, Azmin dijangka akan bertembung dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi merebut jawatan berkenaan ekoran Ketua Umum PKR itu telah mengumumkan untuk bertanding jawatan tersebut.

Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin dalam kenyataannya minggu lalu pula berkata, PKR perlu bersedia untuk tidak menghalang sesiapa bertanding sebarang jawatan termasuk presiden.

Pemilihan PKR akan bermula pada penghujung Ogos dan nama calon pula perlu diserahkan pada 27 Julai hingga 29 Julai.

Lihat Komen
ADS