Calon PKR: Petanda baik, ramai nak swafoto dengan saya
Kehadiran begitu ramai pengundi untuk berswafoto bersama Mohd Zawawi Ahmad Mughni disifatkan petanda baik bagi calon PKR bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.
Bahkan, Mohd Zawawi berkata tempoh tiga hari berkempen selepas penamaan calon 21 Julai yang lalu, beliau tidak melihat seorang pun yang bermasam muka padanya.
“Sepanjang kempen saya sambutan sangat menggalakkan pengundi ramai nak swafoto dengan saya.
“Jadi good sign (petanda baik), tidak ada yang bermasam muka,” katanya dalam sidang media di bilik gerakan PKR, di Kota Kemuning, hari ini.
PRK DUN Sungai Kandis ditetapkan pada 4 Ogos berikutan kematian penyandang kerusi itu, Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.
Pada PRK itu Zawawi ditentang oleh calon BN, Lokman Noor Adam dan seorang calon Bebas, K. Murthy.

