Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kasut sekolah hitam: Persatuan peruncit gesa kementerian buat kenyataan jelas

Persatuan Peruncit Malaysia (MRA) menggesa Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) membuat kenyataan dengan jelas berkaitan penggunaan kasut sekolah hitam yang bermula tahun depan.

Presidennya, James Loke berkata, kerajaan perlu mengeluarkan kenyataan bertulis kepada industri berhubung perkara itu kerana mereka sudah membuat tempahan awal sekurang-kurangnya dalam tempoh setahun bagi kasut sekolah putih bagi menjamin bekalan mencukupi dalam pasaran.

“Oleh itu, kami (MRA) memohon KPM memberikan kenyataan rasmi bertulis kepada pihak industri untuk membolehkan pihak industri menyediakan perancangan yang lebih baik bagi mengelakkan lambakan stok kasut sekolah putih.

“Malah, MRA juga memohon agar KPM dapat memberikan tempoh masa lebih sesuai sekitar 12 hingga 18 bulan untuk membuat keputusan meneruskan pelaksanaan penggunaan kasut sekolah putih kepada hitam dan bukannya bermula pada awal tahun hadapan,” katanya pada sidang media di sini Pejabat MRA di Kuala Lumpur, hari ini.

Loke berkata demikian mengulas pengumuman yang dibuat Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkaitan pemakaian kasut sekolah hitam yang akan dibuat secara berperingkat, tahun depan.

Maszlee berkata, pelaksanaan itu dibuat bagi mengelakkan ibu bapa terbeban dan pelbagai pihak yang terlibat dapat menyesuaikan diri dengan ketetapan baru itu.

Sementara itu Loke turut berkata sekiranya cadangan itu diteruskan, akan berlaku lambakan stok kasut sekolah berwarna putih yang tidak terjual di pasaran.

Ini kerana, katanya, kebanyakan industri telah membuat pembelian dalam jumlah yang besar sekitar 100,000 pasang kasut untuk tahun depan.

Pihaknya juga percaya sekitar 70 hingga 80 peratus kasut sekolah digunakan buat masa kini berwarna putih.

Bebankan pengguna

Ahli majlis Penasihat MRA, Datuk Dr Ameer Ali Mydin, yang juga hadir dalam sidang akhbar itu turut menyuarakan perkara yang sama bahawa kerajaan perlu berunding dengan pihak berkepentingan mengenai kesan keputusan baru itu.

"Apa yang relevan adalah apa yang difikirkan oleh pihak berkepentingan. Kementerian perlu mengeluarkan kenyataan yang jelas, yang ditulis kepada industri supaya kita semua tahu apa yang perlu dilakukan seterusnya.

"Kebimbangan kami ialah kami tidak tahu apa yang kami baca di akhbar itu adalah kenyataan rasmi (atau bukan). Kita mungkin mula memesan kasut hitam esok dan kemudian kita mungkin menghadapi masalah sebagai pengimport dan pengeluar, " katanya.

Justeru Ameer berkata pihaknya akan bertemu dengan KPM dalam masa terdekat bagi membincangkan dan memberi pandangan berhubung perkara tersebut.

“Isu ini bukan hanya memberi kesan kepada industri, bahkan akhirnya akan membebankan pengguna. Pihak industri hanya akan menawarkan stok kepada pengguna dan pengguna yang akan menanggung bebanan pembelian berkenaan," katanya.

Lihat Komen
ADS