Dewan Rakyat kembali bersidang hari ini dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjawab bagi pihak Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam sesi soal jawab berhubung cadangan untuk membuat pinjaman kewangan daripada Jepun.

Tindakan Dr Mahathir itu menarik perhatian petugas media yang bertanya kepada Lim kerana biasanya menteri atau timbalan menteri yang berkaitan yang akan menjawab soalan seumpamanya.

"Perdana menteri merupakan orang yang paling berkuasa. Sudah tentu beliau mempunyai hak (untuk menjawab bagi pihak saya).

"Ini menunjukkan sikap kebertanggungjawaban beliau kerana perkara ini ditimbulkan dan dinyatakan oleh beliau terlebih dahulu dan saya rasa sikap kebertanggungjawaban beliau haruslah dipuji," kata Lim yang merupakan anggota parlimen Bagai ketika ditemui di lobi parlimen hari ini.

Menurut aturan urusan mesyuarat hari ini, yang menetapkan agenda persidangan, soalan pertama ditanyakan oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk) kepada Lim.

Zahid meminta menteri kewangan itu menjelaskan alasan untuk Malaysia membuat pinjaman kewangan daripada jepun yang mempunyai tukaran wang yang lebih tinggi daripada ringgit meskipun faedah pinjaman itu dijangka lebih rendah.

"Bukankah ia akan menambah hutang negara?" soal Ahmad Zahid yang seterusnya dijawab oleh Dr Mahathir.

[Baca berita asal]