Paling Popular
Terkini
story images
story images

BELASUNGKAWA | Memasuki Sungai Kandis adalah memasuki antara kubu terkuat PKR di Selangor. Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei telah mewariskan majoriti 12,480 mengalahkan calon BN, PAS dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang hilang wang pertaruhan.

Mengikut keputusan PRU lalu, sekiranya dicampurkan undi BN dan PAS sekalipun, baru berjumlah 19,091 berbanding undi yang diperoleh calon PKR yang berjumlah 23,988. Kalau trend itu kekal, PKR masih boleh memperoleh majoriti lebih empat ribu.

DUN Sungai Kandis dahulunya diwakili oleh Dr Xavier Jayakumar, yang dalam PRU lalu berpindah ke parlimen Kuala Langat. Penggantinya, iaitu Shuhaimi bukan calang-calang kerana sudah dua kali dia menang di DUN bersebelahan, Sri Muda. Di mana pun Shuhaimi diletak, dia sukar digugat.

Dua minggu sebelum pembubaran parlimen dan DUN, saya bertanya di kerusi mana dia akan bertanding. Katanya, “pindah ke Sungai Kandis”.

“Peluang?” lagi soalan saya.

“50-50,” dia jawab.

Daripada peluang 50-50 itulah, Shuhaimi menang besar. Sebelum pada bulan Ramadan, dia ke Mekah menunaikan umrah. Sejurus pulang dari tanah suci, dia dimasukkan hospital akibat kanser tahap empat dan menghembuskan nafas terakhir.

Shuhaimi meninggalkan kenangan sepanjang dua dekad perjuangan Reformasi. Bukan sahaja bersama saya, tetapi bersama ratusan dan ribuan lagi aktivis dan pejuang Reformasi.

Paling hebat, bagi saya, seorang yang lebih dikenali sebagai “YB Shuhaimi” kerana dia selalu tersenyum. Dalam apa jua keadaan. Kepada sesiapa pun.

Dan beberapa hari sebelum dia ke Mekah, Whatsapp terakhir saya kepadanya ialah menawarkan sehelai samping. Kebetulan hari raya tidak lama lagi. Kira-kira pukul 3 pagi, baru dia jawab. Meminta samping itu, dihantarkan ke pejabatnya.

Shuhaimi membuktikan, dia tidak perlu menyertai “parti Melayu” untuk menjadi anak Melayu sejati. Dia juga tidak perlu menyertai—bahkan bermusuh—dengan “parti Islam” untuk menjadi Islam.

Menegakkan keadilan dan berikhtiar membawa perubahan kepada masyarakat tanpa mengira kaum dan agamalah yang meletakkan Shuhaimi tinggi duduknya dalam lembaran perjuangan PKR.

Shuhaimi juga telah menunjukkan teras moral yang murni apabila kepadanya, kesetiaan dan persahabatan adalah benang yang tidak boleh ditarik putus oleh sesiapa. Ketika ketua Pemuda PKR, Ezam Mohd Nor meninggalkan parti, Shuhaimi kekal bersetia. Sedangkan waktu itu Shuhaimi adalah orang bawahan Ezam di Shah Alam.

Bersama meninggalkan PKR, termasuklah calon BN, Lokman Nor Adam. Sementara Shuhaimi, di ketika itu, tidak pula memegang jawatan setinggi Lokman di dalam sayap pemuda pusat PKR.

Bukan kepada sosok, Shuhaimi menyerah. Bagi sesetengah orang, mungkin Shuhaimi bukan pemidato yang petah. Tidak selantang Lokman. Jauh sekali berbanding Ezam.

Namun sekali lagi, dalam perjuangan, Shuhaimi kental sehingga ke hujung nafasnya. Dia buktikan dia lebih teguh daripada mereka yang lantang dan garang. Tidak kiralah seberapa buruk pun wajah seseorang itu cuba dipalit, tapi baginya, sekali berkawan biar sampai ke hujung masa.

Ramadan ketiga tahun lalu adalah waktu yang paling lama saya duduk dan berbual dengannya. Di sebuah masjid, dalam kawasan DUN beliau. Sementara menunggu waktu berbuka, kami adap-mengadap bertembung lutut. Sambil bersila.

“Mu kena sabar Mi,” katanya.

“Terima kasih YB,” kataku.

Seperti yang dia tunjukkan, kebenaran dan keadilan pasti sampai juga. Masa akan membuktikan segala-gala. Bukan pangkat, bukan kuasa.

Sayang seribu kali sayang, Shuhaimi hanya mempunyai tempoh kurang dua bulan untuk melihat dan menghirup udara Malaysia baharu. Sesuatu yang dia turut perjuangkan, dengan gigih dan kuat. Juga dengan senyuman ketika menempuh segala kepayahan. Begitulah dari Shuhaimi, kenangan paling abadi.

Bagi kawan-kawannya, bagi pengundi Sungai Kandis, YB Mat Shuhaimi Shafiei tak pernah pergi.

Al-fatehah.


HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai Jalan Telawi.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS