Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Jamal Yunos: 'Baju merah' buat provokasi untuk gagalkan BERSIH 5

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, bahawa beliau bersama pengikut kumpulan Baju Merah sengaja melakukan provokasi semata-mata untuk menggagalkan perhimpunan BERSIH 5.0, dua tahun lepas.

Jamal, 48, yang ketika itu Pengerusi Gabungan Gerakan Merah Malaysia, berkata provokasi itu dilakukan selepas beliau memperoleh maklumat daripada media sosial pihak Bersih berkemungkinan akan mengepung Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan beberapa tempat strategik di negara ini semasa perhimpunan pada 19 Nov 2016.

"Apa saya dan kumpulan saya lakukan suatu provokasi untuk menggagalkan perhimpunan itu dan saya juga telah mengeluarkan kenyataan pada satu sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) berhubung perhimpunan BERSIH 5.0," katanya ketika pemeriksaan balas peguam N. Surendran, yang mewakili bekas pengerusi BERSIH 5.0 Maria Chin Abdullah, dalam saman difailkan Maria terhadapnya atas dakwaan mengaitkan BERSIH 5.0 dengan kumpulan pengganas IS.

Disoal Surendran, sama ada Jamal mempunyai bukti kukuh semasa mengeluarkan kenyataan di PWTC pada 28 September 2016 yang mengaitkan perhimpunan berkenaan dengan kumpulan pengganas IS, Jamal berkata: "Kenyataan itu dikeluarkan hanya berdasarkan andaian saya sahaja".

Bukan kedai kopi, sembang-sembang

Jamal, yang merupakan defendan dalam kes saman itu berkata andaian tersebut dibuat berdasarkan kelakuan peserta BERSIH yang ganas dan melampau semasa perhimpunan BERSIH 3.0 kerana mereka merosakkan kereta peronda polis selain turut mencederakan beberapa anggota polis yang bertugas pada perhimpunan tersebut.

"Kenyataan BERSIH terlibat dengan keganasan bukan sahaja dibuat oleh saya seorang, bahkan Tun Dr Mahathir Mohamad juga pernah membuat kenyataan keganasan yang berlaku semasa perhimpunan BERSIH adalah satu tanda pembangkang akan menggunakan apa saja untuk merebut kuasa," katanya.

Ketika ditanya Surendran adakah dia membawa dokumen bagi membuktikan kenyataannya berhubung BERSIH itu, Jamal bagaimanapun gagal mengemukakan sebarang dokumen dan perkara itu turut ditegur Hakim Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab yang mendengar perbicaraan tersebut.

"Ini mahkamah...hanya boleh bercakap jika ada bukti...ini bukan kedai kopi yang kita boleh sembang-sembang," kata hakim itu.

Menjawab soalan Surendran mengenai kenyataan provokasi dalam akaun Facebooknya iaitu akan berlaku tragedi 13 Mei dan parang terbang, Jamal berkata akaun Facebook itu adalah palsu dan beliau telah membuat laporan polis berhubung perkara terebut.

Jamal, saksi terakhir

Sementara itu, Jamal yang diwakili peguam Mohamed Nasser Yusof menerusi penyataan saksinya berkata beliau tidak mempunyai niat untuk memburukkan sesiapa termasuk plaintif (Maria) semasa membuat kenyataan tersebut.

"Niat saya supaya pihak berkuasa berjaga-jaga dengan kehadiran ramai peserta BERSIH yang boleh menyebabkan kekacauan dan keganasan serta gangguan ketenteraman awam.

"Rekod terdahulu turut menunjukkan berlakunya kerosakan ke atas harta benda awam dan kerosakan harta benda polis," jelasnya.

Perbicaraan kes saman itu selesai selepas Jamal yang merupakan saksi terakhir memberi keterangan dalam perbicaraan yang bermula pada Oktober tahun lepas.

Hakim Mohd Zaki menetapkan 13 Ogos untuk pengurusan kes selepas peguam yang mewakili kedua-dua pihak memaklumkan tiada lagi saksi akan dipanggil dan memohon supaya kes itu ditutup.

Pada 7 Oktober 2016, Maria, 62, menyaman Jamal selaku defendan selepas mendakwa pada 28 September 2016, Jamal mengeluarkan kata-kata fitnah pada satu sidang media di perkarangan PWTC dan telah diterbitkan serta disiarkan di beberapa portal berita, media cetak nasional dan media elektronik.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Maria turut mendakwa pada 4 Oktober 2016, Jamal sekali lagi mengeluarkan kata-kata fitnah terhadapnya di perkarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan diterbitkan pada 5 Oktober tahun sama di portal berita, media cetak nasional dan media elektronik.

Maria mendakwa kenyataan-kenyataan tersebut antara lainnya memberi gambaran bahawa beliau seorang yang ganas, tidak mematuhi undang-undang dan merupakan seorang ejen IS.

- Bernama

Lihat Komen
ADS