Di saat kerajaan mahu memansuhkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan, seorang pemimpinnya hari ini berkata akta itu boleh dikekalkan asalkan peruntukannya disemak semula.

Exco Perak A Sivanesan berkata, akta itu masih diperlukan untuk melindungi negara daripada ancaman keganasan.

"Saya pernah hadir beberapa kes berkaitan Sosma dan berpandangan ia boleh dikekalkan. Tetapi pada sama ia perlu disemak semula," katanya yang juga seorang peguam kepada Malaysiakini.

ADUN Sungkai dari DAP itu berkata antara peruntukan yang perlu dipinda adalah tahanan perlu dibicara di mahkamah.

"Dalam beberapa kes yang saya hadiri, tahanan Sosma dipenjara dengan cara yang tidak adil. Kalau (kes) terorisme boleh dibicara di mahkamah, tahanan Sosma juga perlu diberi peluang itu.

"Walaupun kita (pihak tahanan) ada bukti kukuh, masih sukar untuk menang dalam kes berkaitan akta itu," katanya lagi.

Antara kritikan utama terhadap akta itu - yang dikatakan sebagai pengganti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) - adalah suspek boleh ditahan selama 28 hari tanpa memerlukan perintah mahkamah, tidak boleh diikat jamin dan ditekan untuk mengaku bersalah.

Dalam pada itu, Sivanesan mendakwa kaum India paling banyak dituduh bawah Sosma ekoran kes jenayah tetapi menegaskan undang-undang sedia ada mampu menangani perkara itu.

Pengarah Jabatan Pilihan Raya Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) S Barathidasan pula tidak menafikan masalah gangsterisme boleh meningkat jika Sosma dimansuhkan.

"Saya tak suka akta ini tetapi pada masa sama tak menolak realiti bahawa kes jenayah dan gangsterisme - terutama di kalangan kaum India - akan meningkat," katanya sambil mendakwa jenayah di kalangan kaum itu turun mendadak selepas akta itu diperkenalkan pada 2012.

"cara terbaik adalah menggantikannya dengan akta baru seumpamanya atau menyemaknya semula," katanya lagi.