Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib: Jangan pinda DEB, MEB semata-mata nak pinda

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berharap kerajaan baru tidak membuat pindaan terhadap Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Model Ekonomi Baru (MEB) semata-mata kerana mahu berbuat demikian.

Menurutnya, sebarang perubahan yang ingin dilakukan perlu membawa kepada penambahbaikan daripada apa yang telah dilakukan kerajaan sebelum ini.

"Saya berharap kerajaan baru tidak akan membuat pindaan semata-mata nak buat pindaan tetapi kalau nak lakukan pindaan, ia semestinya membawa kepada sesuatu penambahbaikan daripada apa yang kita telah lakukan.

"Kalau timbul ketidaktentuan, maka ini boleh menjejaskan keyakinan pasaran kepada ekonomi Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Ia sebagai mengulas soalan berhubung hasrat kerajaan yang mahu mengkaji semula DEB dan MEB bagi melihat sama ada dasar-dasar berkenaan masih relevan atau sebaliknya.

Ketua pembangkang kata tak wajar

Sementara itu, ketua pembangkang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula berkata, dasar-dasar yang pernah dipersetujui sebelum ini tidak harus sewenang-wenangnya dirombak.

Menurut Zahid, ia bagi menjaga kepentingan rakyat meskipun dasar berkenaan adalah untuk bumiputera sahaja.

"Tidak seharusnya dasar-dasar yang dipersetujui bersama harus dirombak. Kita harus kembali kepada perlembagaan dan perkara-perkara yang telah termaktub dalam perlembagaan tidak seharusnya sewenang-wenangnya dirombak.

"Tidak wajar sesuatu dasar yang baik itu mahu dirombak kerana ia dibuat oleh kerajaan terdahulu," kata Zahid ketika ditemui pemberita.

Lihat Komen
ADS