Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MIC: Pengundi India di Sg Kandis kecewa dengan HARAPAN
Diterbitkan:  Jul 24, 2018 3:04 PM
Dikemaskini: 7:16 AM

PRK SG KANDIS | MIC yakin pengundi India akan mengundi BN pada pilihan raya kecil Sungai Kandis yang berlangsung pada 4 Ogos ini.

Menurut Ketua Pemuda MIC Selangor, S Kajendran, pengundi India di kawasan itu kecewa dengan kegagalan HARAPAN menunaikan janji pada pilihan raya umum lalu.

"Menteri-menteri (sumber manusia) M Kulasegaran, (multimedia dan komunikasi) Gobind Singh, (air, tanah dan sumber semula jadi) Dr Xavier Jeyakumar dan (menteri di Jabatan Perdana Menteri) P Waythamoorty jarang menjawab pertanyaan mengenai janji 100 hari itu.

"Kegagalan untuk mengekstradisi Zakir Naik juga membuatkan masyarakat India marah. Ramai yang setuju bahawa Perdana Menteri (Tun) Dr Mahathir Mohamad tidak berbeza semasa beliau berada dalam BN," katanya kepada Malaysiakini.

"Ada juga yang menuduh pemimpin BN sengaja membuat propaganda negatif terhadap HARAPAN. Bagaimanapun, realiti di bawah, rakyat merasa kecewa, "katanya.

Sebagai contoh, Kajendran berkata pengundi di Kota Raja menjangkakan plaza Tol Kota Kemuning akan dimansuhkan sekiranya HARAPAN membentuk kerajaan persekutuan.

"Ini tidak berlaku. Sama dengan harga petrol. Ini adalah beberapa isu yang telah menyebabkan pengundi di Sungai Kandis, terutama dari masyarakat India, kecewa," katanya.

Beliau bagaimanapun menjangkakan tugas yang sukar untuk BN memenangi kawasan pilihan raya kecil itu.

"Dalam PRU14, sokongan kaum India kepada HARAPAN di Sungai Kandis adalah sekitar 75 peratus. Kali ini, saya meramalkan pertempuran 50-50," katanya.

Pada PRK Sg Kandis, calon HARAPAN Zawawi Ahmad Mughni akan menentang pencabarnya dari BN, Datuk Lokman Noor Adam dan calon bebas, Murthi Krishnasamy.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas kematian Anggota Dewan Undangan Negeri Mat Shuhaimi Shafie pada 2 Julai lalu.

Allahyarham memenangi kerusi Sungai Kandis dengan majoriti 12,480 undi pada PRU14.

Pengundi India merupakan 16 peratus daripada keseluruhan 50,800 pengundi. Manakala pengundi Melayu 72 peratus dan Cina, 12 peratus.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS