Dua lagi korban banjir di Pantai Timur
Seorang kanak- kanak berumur lapan tahun dan remaja 14 tahun menjadi mangsa terbaru banjir di pantai timur semalam, menjadikan jumlah korban bencana itu lima orang setakat ini.
Dalam kejadian di Sungai Benteng, Dungun, Terengganu pada pukul 2.30 petang, Abdul Azim Fahmi Mohd Fauzi, 8, lemas dihanyutkan arus deras setelah terjatuh ke dalam sungai itu ketika bermain bersama rakannya.
Ketua Polis negeri Datuk Hussin Ismail berkata mangsa bersama abangnya Abdul Rahman, 12 dan seorang temannya berumur 12 tahun dilaporkan telah mengikat tali di benteng itu untuk bermain air.
"Mereka telah pergi ke sungai itu sejak pukul 1.15 tengah hari dan telah mengikat seutas tali di benteng tersebut untuk bergayut sambil bermain air," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu.
Menurut laporan Bernama, gerakan mencari mangsa masih diteruskan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis, Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) serta orang ramai.
Di Felda Chalok Barat, Setiu pula, seorang remaja berumur 14 tahun lemas setelah terjun ke dalam Sungai Klinik, Setiu yang mempunyai kedalaman dua meter.
Mangsa, Wan Mohd Faizul Wan Suibon, 14, pelajar Sekolah Menengah Chalok Barat sebelum itu dilaporkan telah pergi ke tempat kejadian bersama rakan-rakannya untuk mandi sungai.
Anak bongsu daripada sembilan beradik itu dikatakan memberitahu ibunya untuk ke masjid bagi menunaikan solat Zohur tetapi beliau telah singgah di sungai untuk mandi bersama rakannya.
Mayat remaja itu ditemui dua meter dari tempat kejadian kira-kira pukul 3 petang tadi.
Air semakin surut
Secara keseluruhannya, keadaan banjir pagi ini lebih baik berbanding semalam apabila lebih ramai mangsa banjir di Terengganu dan Pahang telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Di Pahang, mangsa banjir di pusat pemindahan sementara menurun kepada 110 berbanding 288 apabila empat pusat pemindahan sementara ditutup semalam.
Sehingga pukul 5 petang semalam, hanya dua pusat pemindahan sementara masih dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan Cenderawasih dan Sej. Keb. Sungai Isap di Kuantan.
Kedua-dua pusat penempatan itu menempatkan 17 keluarga terdiri daripada 58 lelaki dan 39 wanita.
Di Terenggganu, bilangan mangsa banjir di pusat perpindahan di lima daerah di negeri itu menurun kepada 731 orang sehingga 5 petang, daripada 1,405 pada awal pagi.
Di Kelantan, jumlah mangsa banjir yang tertumpu di Kuala Krai dan Gua Musang, turut berkurangan kepada 89 apabila 27 orang pulang ke rumah masing-masing petang semalam selepas menumpang di rumah saudara-mara mereka.
Sehingga 4 petang, seramai 10 sekeluarga dari Kampung Kedai Buloh, Pantai Cahaya Bulan berpindah ke Pasti Kedai Buloh manakala 79 orang di Tanah Merah masih berlindung di rumah saudara-mara, balai raya dan sekolah.
Setakat pukul 6 petang, paras air di Sungai Kelantan di Kota Baharu masih bertahan di tahap bahaya iaitu pada paras 5.28 meter.
Paras air di Jeti Kastam, Sungai Kelantan turut mencatat bacaan paras bahaya 5.27 meter manakala Sungai Golok di Rantau Panjang meningkat ke paras 9.85 meter.

