Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow memohon pinjaman RM1 bilion daripada kerajaan persekutuan untuk membiayai dua komponen dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).
"Walaupun secara umumnya diketahu bahawa kerajaan persekutuan mempunyai kekangan kewangan akibat hutang negara yang tinggi, kerajaan negeri mahu meminjam RM1 bilion untuk membiayai dua komponen utama untuk PTMP," kata Chow dalam ucapannya di parlimen hari ini.
Chow menjelaskan dua komponen itu ialah penyelarasan projek Transit Aliran Ringan dari George Town ke Bayan Lepas dan Rangkaian 1 Pulau Pinang (PIL) di pulau dari Gurney Drive ke lapangan terbang di Bayan Lepas.
"Selain dari dua projek itu, jalan utama dan projek terowong dasar laut yang menjadi isu hangat sebelum ini, diharap dapat kelulusan yang diperlukan daripada kerajaan persekutuan agar projek berkenaan dapat dipermudahkan," katanya yang juga merupakan anggota parlimen Tanjung.
Pulau Pinang dilihat berhasrat meneruskan PTMP yang akan didanai melalui projek penambakan termasuk pembinaan dua pulau tiruan.
Projek terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion dan tiga projek lebuh raya juga sedang berjalan.
NGO dan beberapa kumpulan penduduk yang bimbang melancarkan petisyen menggesa kerajaan negeri membatalkan projek PIL memandangkan laporan EIA yang kini boleh diakses umum, menunjukkan kemungkinan Taman Bandaraya akan dikorbankan bagi meneruskan projek itu.
