GLOBAL |  Beberapa orang terbunuh manakala beratus-ratus lagi dilaporkan hilang apabila sebuah empangan hidroelektrik yang sedang dibina runtuh pada malam Isnin di daerah Sanamxay di tenggara Wilayah Attapeu, Laos, lapor agensi berita China Xinhua.

Menurut kenyataan pejabat pentadbiran wilayah pada Selasa, Empangan Hidroelektrik Xe Pian-Xe Nam Noy runtuh pada pukul 8 malam waktu tempatan, sekali gus melepaskan lima bilion meter padu air yang kemudian menghanyutkan beberapa buah rumah dan meragut nyawa beberapa penduduk serta menyebabkan beratus-ratus lagi hilang.

Pejabat Pentadbiran Wilayah Attapeu telah mengumumkan bantuan untuk mangsa banjir.

Pihak berkuasa Wilayah Attapeu turut menggesa parti politik, pertubuhan kerajaan, komuniti perniagaan, para pegawai kerajaan, pasukan polis dan tentera serta rakyat Laos agar menghulurkan bantuan kecemasan kepada mangsa.

Projek kuasa hidroelektrik Xe Pian-Xe Nam Noy yang sedang dibina oleh Xe Pian-Xe Nam Noy Power Company (PNPC), usaha sama antara syarikat-syarikat Korea Selatan, Thailand and Laos itu dianggarkan bernilai US$1.02 bilion.

Ia dianggar mampu menjana kuasa elektrik tahunan sebanyak 1,860 GWh.

Kajian kebolehlaksanaan bagi projek hidroelektrik itu telah disiapkan pada November 2008.

Pembinaan projek itu bermula pada Februari 2013 dan operasi komersial dijangka bermula tahun ini.

- Bernama