Ada apa di sebalik aduan ke media Singapura?
Maklumat dalaman kerajaan yang disalurkan kepada media asing mungkin didalangi pegawai kanan yang tidak berpuas hati dengan pendekatan diambil Pakatan Harapan (HARAPAN).
Bekas pengarang kumpulan New Straits Times Mustapha Kamil Mohd Janor berkata disebabkan tidak senang berlaku perubahan kerajaan maka pihak terbabit mengadu kepada media di luar negara kononnya wujud pertelingkahan.
"Mengadulah mereka kononnya Tun Daim Zainuddin lebih berkuasa daripada menteri kabinet," katanya dalam satu hantaran di media sosial semalam.
Mustapha Kamil mengulas mengenai laporan media Singapura yang mendakwa wujud ketegangan di antara pemimpin HARAPAN dengan anggota Majlis Penasihat Kerajaan (CEP).
Memetik sumber akhbar Straits Times di Singapura mendakwa campur tangan CEP itu membawa kepada beberapa perubahan kedudukan pegawai kanan kerajaan, termasuk membabitkan peletakan jawatan gabenor Bank Negara.
Turut dikaitkan ialah peletakan jawatan hakim paling kanan dalam negara.
Menurut Straits Times tahap campur tangan oleh anggota CEP cukup meresahkan pemimpin HARAPAN.
Tempat main dah berubah
CEP ditubuhkan kerajaan HARAPAN selepas pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei lalu. Ia dianggotai lima tokoh terkemuka dan dipengerusikan oleh Daim.
Empat lagi anggota CEP ialah bekas gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz; bekas presiden merangkap ketua pegawai eksekutif Petronas, Tan Sri Hassan Merican; tokoh korporat, Tan Sri Robert Kuok dan pakar ekonomi, Prof Dr Jomo Kwame Sundaram.
Mengikut perancangan asal hayat CEP itu hanya 100 hari selepas HARAPAN membentuk kerajaan.

Itu pengaruh CEP turut dibangkitkan Anggota Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar di Dewan Rakyat semalam.
Kata bekas menteri itu CEP ialah sebuah majlis yang "tidak dipilih dan tidak dipertanggungjawabkan".
Bagaimanapun Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk VK Liew berkata kerajaan tidak terikat kepada sebarang pandangan atau keputusan yang dibuat CEP.
Katanya peranan CEP hanyalah dalam kapasiti penasihat dan tidak mempunyai sebarang kuasa eksekutif.
Menurut Mustapha Kamil CEP itu hanya berfungsi selama 100 hari dan tidak diberikan sebarang peruntukan kewangan.
Baca Daim bakal ke China, runding ECRL, SSER
Katanya anggota CEP berkhidmat tanpa bayaran dan hanya membantu kerajaan di peringkat awal pentadbiran HARAPAN.
Justeru Mustapha Kamil menyarankan pegawai yang tidak berpuas hati itu supaya mengadu kepada media tempatan sesekali bagi membuktikan keikhlasan mereka.
"Singapura itu memang rasanya dah tak selesalah sebab Dr Mahathir kembali berkuasa.
"Atau pegawai-pegawai itu pun dah tak selesa? Mungkin dah tak sebebas dulu," katanya.
Secara bersahaja Mustapha Kamil menjelaskan dia mempunyai kenalan di kalangan pegawai tinggi kerajaan yang gemar bermain golf.
Katanya mereka suatu ketika dulu gemar bermain golf di luar negara seperti di Indonesia atau Australia dan memuat naik gambar tersebut di media sosial.
Namun katanya kini keadaan berbeza.
"Sekarang mereka masih main golf. Tapi gambarnya di Kelab Golf Perkhidmatan Awam saja," katanya.

