Wartawan mati ditembak di bandar peranginan Mexico
GLOBAL Seorang wartawan ditembak mati di bandar peranginan pantai Mexico, Playa del Carmen, pendakwa raya berkata semalam, kurang sebulan selepas dia mengadu akan dipukul dan diugut oleh polis tempatan.
Lelaki bersenjata menembak Ruben Pat (di atas), 42, pengasas laman web Playa News, pada awal pagi semalam, di luar sebuah bar berhampiran pantai, pendakwa raya dari negeri Quintana Roo berkata dalam satu kenyataan.
Pembunuhan Pat adalah yang terbaru dalam senarai pembunuhan yang semakin meningkat di negara yang telah menjadi terkenal kerana serangan ganas terhadap petugas media.
Kurang sebulan lalu, wartawan lain di Playa News ditembak mati di bahagian lain negeri itu.
Pat telah menerima ancaman sejak enam bulan lalu, menurut seorang rakannya, yang meminta untuk tidak dinamakan kerana takutkan ancaman.
Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ) yang berpangkalan di New York berkata pada bulan Jun Pat memberitahu mereka pada bulan itu yang dia diserang oleh pegawai polis perbandaran.
"Mereka memberitahu saya supaya berhenti menerbitkan artikel mengenai seorang ketua polis tempatan, dan saya tahu apa yang akan berlaku pada saya jika saya tidak mematuhinya," kata Pat, menurut CPJ.
Polis di perbandaran Solidaridad, yang termasuk Playa del Carmen, tidak segera memberi respons terhadap permintaan untuk mendapatkan komen.
Keadaan keselamatan di Quintana Roo, telah merosot ekoran perang antara geng untuk menguasai pasaran dadah yang menguntungkan.
Sekurang-kurangnya tujuh wartawan lain terbunuh secara ganas di Mexico tahun ini, demikian menurut data yang dibekalkan oleh pelbagai pertubuhan bukan kerajaan.
- Reuters

