Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images

SG KANDIS l Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini “turun padang” bagi membantu calon BN, Datuk Lokman Noor Adam pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis.

Bekas presiden Umno dan pengerusi BN itu tiba di Bilik Gerakan BN N49 Sungai Kandis kira-kira jam 8.50 pagi disambut oleh Pengarah PRK DUN Sungai Kandis yang juga Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Lokman.

Najib bersama kepimpinan dan ahli BN kemudiannya bersarapan bersama-sama sebelum dikejutkan dengan sambutan kek hari jadi yang mana beliau dilahirkan pada 23 Julai 1953. Sambutan itu diiringi dengan lagu 'Allah Selamatkan Kamu'.

Selepas meluangkan masa kira-kira setengah jam di bilik gerakan itu, Najib yang diiringi Mohamad dan Lokman melakukan program Kunjungan Kasih dengan melawat 10 rumah golongan tidak bernasib baik di sekitar Kampung Sungai Kandis.

Tinjauan Malaysiakini mendapati kehadiran Najib masih mendapat sambutan daripada penduduk, walaupun tidak semeriah semasa beliau berada dalam kerajaan suatu ketika dahulu. Penyokong turut mengambil kesempatan bergambar dengan Najib

Mengulas mengenai lawatan itu, Najib berkata sambutan begitu mesra sekali kerana mereka merupakan penyokong BN turun temurun.

“Saya minta supaya semangat dan sokongan mereka dipindah kepada anak mereka dan generasi akan datang supaya menyokong calon BN,” katanya ketika ditemui di hadapan Sekolah Rendah Agama Sungai Kandis.

Najib berkata, Lokman seorang ahli politik yang amat berwibawa dan mempunyai ilmu yang mendalam ketika beliau berkhidmat di Kementerian Kewangan khususnya dalam bidang komunikasi.

“Selain itu, beliau mempunyai perwatakan yang lantang dan berani menyatakan sesuatu pendapat.

“Orang begini yang kita perlukan di Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk memperlihatkan perjalanan demokrasi yang matang lagi sihat kerana perbezaan pendapat ditangani mengikut prinsip demokrasi boleh membawa manfaat kepada rakyat,” katanya.

Najib juga berkata, beliau melihat rakyat kecewa dengan kerajaan HARAPAN hari ini.

“Saya lihat sehari dua banyak rakyat kecewa kerana banyak janji tidak ditunai dan U-turn dari segi dasar dan perkara yang dekat di hati pengundi terutama orang Melayu.

“Mudah-mudahan kempen ini berjalan sihat, positif dan berakhir dengan sesuatu pengimbangan yang sihat dalam demokrasi negara,” katanya.

PRK Sungai Kandis diadakan susulan kematian wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

Pertembungan tiga penjuru kali ini turut membabitkan calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan calon Bebas, K Murthy.

Pada PRU-14, DUN Sungai Kandis menyaksikan pertembungan empat penjuru dengan Mat Shuhaimi mempertahankan kerusinya apabila mengalahkan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari; calon PAS, Mohd Yusof Abdullah; dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin.

Mat Shuhaimi meraih 23,998 undi dengan majoriti 12,480 undi, mengalahkan Kamaruzzaman (11,518 undi), Mohd Yusof (7,573 undi) dan Hanafiah (76 undi).

Lihat Komen
ADS