Kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) akan menyegerakan pemilihan ketua 'backbencher' (penyokong kerajaan) bagi mengelak insiden penangguhan persidangan Dewan Rakyat kerana tidak cukup korum seperti semalam, kata Menteri Wilayah Khalid Samad.

Menurut beliau, buat masa ini semua parti dalam HARAPAN mempunyai Ketua Whip mereka sendiri dan pemilihan seorang ketua akan menyeragamkan tindakan Anggota Parlimen HARAPAN di dalam Dewan terutamanya dalam menentukan kehadiran Anggota Parlimen.

Beliau yang juga Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) berkata pemilihan ketua backbencher itu masih lagi di tahap perbincangan dan hanya akan dimuktamadkan pada mesyuarat Majlis Presiden HARAPAN akan datang.

“Buat sementara waktu ini, saya rasa semua Ketua Whip HARAPAN boleh berbincang dalam memilih seorang ketua dari kalangan mereka sehingga Majlis Presiden seterusnya diadakan.

Majlis Presiden HARAPAN hanya akan bertemu sekali dalam sebulan, oleh itu pelantikan sementara ini perlu sehingga dimuktamadkan pemilihan itu,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini

Semalam, Persidangan Dewan Rakyat terpaksa ditangguh dua minit kerana tidak cukup korum.

Perkara itu turut mendapat perhatian bekas menteri kabinet Tan Sri Rais Yatim melalui status Twitternya yang menyatakan cara terbaik mengatasi masalah Dewan Rakyat tidak cukup korum adalah melalui potongan elaun bulanan Anggota Parlimen mengikut kadar arahan Jawatankuasa Pemilih Dewan.

Rais turut mencadangkan supaya nama-nama Anggota Parlimen yang disifatkannya sebagai ‘malas’ itu didedahkan di dalam akhbar dan media sosial.

- Bernama