Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kerajaan perlu mendapatkan pandangan pasukan keselamatan negara jika mahu memansuhkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berkata langkah itu perlu untuk memastikan sama ada pemansuhan itu akan membantu mereka mencegah keganasan atau sebaliknya.

“Kalau kita mahu memansuhkan apa jua akta tentang keselamatan, yang kita mesti tanya pertama sekali ialah pihak yang menjalankan tanggungjawab untuk menjaga keselamatan negara kita.

“Dalam hal ini, pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM), polis dan pihak berkuasa lain (perlu ditanya) sama ada pemansuhan Sosma akan membantu mereka mencegah jenayah.

“Jangan lupa Sosma ini membolehkan kita mengambil tindakan awal dengan menahan orang melalui mahkamah dan bukannya ketua polis negara.

"Mahkamah yang memutuskan seseorang itu ada risiko yang besar dan melakukan satu tindakan keganasan atau tidak,” katanya merujuk akta berkenaan yang lebih dikenali sebagai Sosma.

Najib berkata demikian pada sidang media selepas berkempen untuk calon BN, Datuk Lokman Noor Adam di Kampung Sungai Kandis.

Ahad lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan memansuhkan undang-undang yang banyak menindas rakyat khususnya Sosma.

Sehari kemudian Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula berkata cadangan membatalkan Sosma akan membuka lebih banyak ruang provokasi antara kaum dan agama melalui pelbagai saluran media sosial.

Menurut Najib Sosma sebenarnya mampu menyelamatkan nyawa dan harta benda.

“Pada saya, nyawa dan harta benda tidak boleh digadai dengan apa-apa pertimbangan yang lain kerana kesan sesuatu kejadian keganasan boleh memusnahkan keyakinan terhadap Malaysia,” katanya.

Lihat Komen
ADS