PARLIMEN | Anggota parlimen Pakatan Harapan (HARAPAN) mempersoalkan sama ada kerajaan akan menyiasat Datuk Seri Najib Razak (BN-Pekan) lebih lanjut untuk menentukan sama ada bekas perdana menteri itu mempunyai kaitan dengan penghantaran surat kepada CIA untuk meminta sokongan AS menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Ramkarpal Singh (HARAPAN-Bukit Gelugor) berkata menulis surat meminta CIA masuk campur dalam hal negara bertentangan dengan Seksyen 124B Kanun Keseksaan.

"Saya mahu membangkitkan kemungkinan Pekan terlibat dalam jenayah di bawah Seksyen 124B iaitu melakukan tindakan yang menjejaskan demokrasi berparlimen.

"Jika beliau berniat untuk meminta CIA masuk campur dalam hal dalam negara Malaysia, itu merupakan tindakan yang menjejaskan demokrasi berparlimen di Malaysia yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun.

"Saya mahu bertanya kepada menteri, adakah akan ada siasatan terhadap atas isu serius ini?" soal Ramkarpal ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Ramkarpal mengemukakan dakwaan bahawa Najib terlibat dalam isu berkaitan dana 1MDB.

Dakwaan itu sebelum ini disiarkan media-media antarabangsa seperti The Wall Street Journal (WSJ) dan The Economist, kata Ramkarpal.

Peguam Negara AS Jeff Session sendiri menyifatkan isu 1MDB sebagai "kleptokrasi paling teruk," tambahnya.

"Perkara seumpama ini sangat menjejaskan negara, namun (Najib) tidak pernah menjawab dakwaan ini.

"Adakah keengganannya menjawab dakwaan yang saya bangkitkan adalah kerana (Najib) pernah meminta bantuan daripada CIA di AS?

"Adakah itu sebabnya (Najib) terus berdiam diri dalam isu serius ini?" katanya.

Kecoh di Dewan rakyat

Malaysiakini sebelum ini melaporkan Unit Penyelidikan di Jabatan Perdana Menteri, yang juga digambarkan sebagai unit risikan, mengirim surat rasmi kepada pengarah CIA ketika itu, Gina Haspel lima hari sebelum lima hari sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Datuk Hasanah Abdul Hamid yang merupakan pengarah unit berkenaan, dalam surat itu meminta kerajaan AS menyokong Najib dan BN jika "menang tipis" dalam PRU.

Surat berkenaan menggambarkan Datuk Seri Najib Razak sebagai pemimpin progresif yang menyokong AS, manakala Dr Mahathir Mohamad digambarkan sebagai "anti-Barat".

Mengulas lanjut, Ramkarpal berkata, sekiranya Najib terus berdiam diri dengan dakwaan terhadapnya, ia menunjukkan Hasanah menulis surat itu atas dakwaannya.

Najib bagaimanapun sebelum ini sudah menafikan mengetahui kewujudan surat berkenaan dengan berkata: "Saya terkejut. Saya tidak tahu pun kewujudan surat itu. Tidak semua surat perlu melalui saya."

Ketika Ramkarpal membuat dakwaan kemungkinan penglibatan Najib dalam perkara itu, Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) mencelah dan menyifatkan kenyataan anggota parlimen DAP itu "hanya tuduhan dan andaian".

Ramkarpal kemudian mengecam Tajuddin sebagai membuang masa Dewan Rakyat, yang kemudian dibalas Tajuddin dengan tuduhan sama kepadanya.

Tajuddin mencelah Ramkarpal lagi dengan mengingatkan agar membiarkan mahkamah menentukan perkara itu.

"Mahkamah mana yang akan putuskan? Dia (Najib) belum pun dibawa ke mahkamah. Sila duduk," katanya.

Apabila Tajuddin cuba menjawab, anggota parlimen lain membuat bising dan cuba menyertai perbalahan itu.

Bagaimanapun, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Haron mematikan mikrofon kesemua anggota parlimen dan memberi amaran kepada Ramkarpal agar mengikut peraturan dewan.

Ramkarpal akur dengan arahan Speaker dan meneruskan ucapannya.

[Baca berita asal]