Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan enam yang lain berjaya dalam rayuan mereka untuk membatalkan saman kedua yang difailkan terhadap mereka oleh balu penyiasat persendirian P Balasubramaniam.

Panel tiga anggota Mahkamah Rayuan yang disidangi oleh Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, Datuk Suraya Othman dan Datuk Stephen Chung Hian Guan membenarkan rayuan yang difailkan oleh kelapan-lapan perayu.

Selain Najib dan Rosmah, enam perayu yang lain ialah adik Najib Datuk Mohd Nazim, Datuk Ahmad Johari, peguam Tan Sri Cecil Abraham dan Sunil Abraham, peguam Arulampalam Mariampillai dan Pesuruhjaya Sumpah Zainal Abidin Muhayat.

Tengku Maimun yang mempengerusikan panel itu memutuskan bahawa A Santamil Selvi telah memfailkan saman tersebut melewati tempoh iaitu lebih enam tahun dalam kerangka masa.

"Kami berpendapat bahawa pemfailan saman kedua berdasarkan dakta dan pihak-pihak yang sama, selepas saman pertama telah dibatalkan, adalah penyalahgunaan proses mahkamah," kata beliau.

Tengku Maimun berkata mahkamah tidak dapat menerima alasan Santamil Selvi bahawa dia tidak dapat memfailkan saman itu lebih awal kerana dia dan keluarganya berada di luar negara.

Beliau memerintahkan Santamil Selvi membayar kos sebanyak RM4,000 kepada setiap perayu untuk prosiding mahkamah di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Pada 23 Julai, tahun lepas, Santamil Selvi dan tiga orang anaknya B Kishen, B Menaga dan B Reeshi memfailjkan saman kedua bagi pihak mendiang suaminya terhadap lapan perayu yang sama yang dia juga namakanj sebnagai defendan dalam saman sebelumnya dengan mendakwa mereka mengalami kemudaratan yang disengajakan akibat tinggal dalam buangan di India.

Santamil Selvi dan anak-anaknya yang menuntut ganti rugi dengan faedah, mendakwa bahawa perayu telah melenyapkan hak mereka untuk menjalani kehidupan biasa dan menyebabkan mereka mengalami kerugian kewangan dan bukan kewangan.

Pada 30 Jan tahun ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan oleh lapan perayu untuk membatalkan saman kedua yang dikemukakan oleh Santamil Selvi.

Pada Jun, 2014, Santamil Selvi telah memfailkan saman konspirasi terhadap Najib, Rosmah, adik-adik Najib iaitu Mohd Nazim dan Johari, peguam Tan Sri Cecil Abraham dan anaknya, Datuk Sunil Abraham, Arulampalam, Pesuruhjaya Sumpah Zainal Abidin dan ahli perniagaan Deepak Jaikishan.

Kecuali Deepak, saman yang difailkan Santamil Selvi terhadap lapan daripada mereka telah dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2014 dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan pada 2015.

Balasubramaniam, atau lebih dikenali sebagai “PI Bala”, merupakan saksi utama dalam perbicaraan wanita warga Mongolia Altantuya Shaariibuu. Bala meninggal dunia akibat serangan janjung pada 5 Mac, 2013 beberapa minggu selepas kembali dari India.

Peguam Datuk Wira Mohd Hafarizam Harun mewakili Najib dan Rosmah sementara adik Najib iaitu Ahmad Johari dan Mohd Nazim, masing-masing diwakili oleh peguam Dhinesh Bhaskaran dan B Thangaraj.

Peguam Satharuban Sivasubramaniam mewakili Zainal Abidin, peguam Chong Ian Shin mewakili Arulampalam sementara sekumpulan peguam diketuai oleh Datuk Seri Gopal Sri Ram mewakili Santamil Selvi.

- Bernama