Malaysiakini BERITA

Khairy sokong HARAPAN mungkiri 2 janji

Geraldine Tong

Diterbitkan  |  Dikemaskini

PARLIMEN | Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) menggesa kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) memungkiri dua janji manifestonya demi kebaikan ekonomi negara.

Dua janji tersebut adalah pemansuhan GST dan penangguhan pembayaran semula hutang PTPTN bagi peminjam bergaji bawah RM4,000.

"Janji adalah untuk dimungkiri (Promises are meant to be broken). Mungkiri janji anda berkenaan GST," katanya ketika berucap dalam sesi perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang Di-pertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau mendakwa kadar GST yang disifarkan sejak 1 Jun lalu gagal menurunkan harga barang.

"Menteri Kewangan akui GST lebih telus dan efisien, mengapa tidak rendahkan kadarnya dan tambah barang yang dikecualikan (cukai itu)?

"Ini langkah ke belakang, tiada negara akan menggantikan GST dengan SST," katanya lagi.

Berhubung janji penangguhan bayaran PTPTN pula, Khairy berkata ia hanya menambahkan beban hutang yang ditanggung kerajaan.

Katanya, ini kerana PTPTN mungkin terpaksa meminjam daripada institusi kewangan jika tidak boleh mengutip hutang.

"Saya meminta kepada anda, perdana menteri pun sudah cakap manifesto bukan kitab suci..(Maka) tolong jadi rasional.

"Saya sedia maafkan kerajaan jika tidak penuhi dua janji ini," katanya lagi.