Tim. Menteri dakwa pusat latihan MLVK tipu kerajaan
Kementerian Sumber Manusia mendapati terdapat sebahagian pusat latihan di bawah skim Majlis Latihan Vokesyenal Kebangsaan (MLVK) menipu kerajaan untuk mendapatkan wang secara mudah.
Timbalan Menterinya, Datuk Abdul Rahman Bakar berkata, pusat-pusat berkenaan membuat tuntutan kepada kementerian dengan mendakwa memberi latihan selama enam bulan sedangkan sebenarnya cuma tiga bulan.
Kementerian Sumber Manusia mendapati terdapat sebahagian pusat latihan di bawah skim Majlis Latihan Vokesyenal Kebangsaan (MLVK) menipu kerajaan untuk mendapatkan wang secara mudah.
Timbalan Menterinya, Datuk Abdul Rahman Bakar berkata, pusat-pusat berkenaan membuat tuntutan kepada kementerian dengan mendakwa memberi latihan selama enam bulan sedangkan sebenarnya cuma tiga bulan.
"Mereka membuat tuntutan untuk bayaran melatih penganggur selama enam bulan tetapi yang sebenarnya mereka cuma melatih dua atau tiga bulan sahaja," katanya ketika ditemui di bangunan Parlimen.
Menurut Abdul Rahman jumlah pusat latihan yang terbabit dengan kegiatan tersebut agak besar.
Sebagai tindakan ke atas penipuan tersebut katanya, kementerian akan menyenaraihitamkan penyedia latihan terbabit untuk selama-lamanya.
Beliau juga memberitahu, kira-kira 800 dari 1,600 pusat latihan kemahiran di bawah skim MLVK ditutup.
Menurutnya, antara sebab pusat latihan berkenaan ditutup kerana kekurangan pelajar.
"Kekurangan pelatih menyebabkan penyedia latihan tidak menpunyai pendapatan yang cukup untuk terus beroperasi dan akhirnya terpaksa ditutup.
"Ia paling banyak berlaku beberapa tahun lalu ketika kerajaan belum menyediakan tabung pembiayaan kepada penyedia latihan terbabit,"ujarnya.
Abdul Rahman berkata, pengusaha terbabit hanya mengharapkan bantuan kewangan dari kerajaan dan apabila bantuan tidak disalurkan mereka tidak dapat beroperasi
Kementerian Sumber Manusia mengadakan skim latihan kemahiran di bawah MLVK pada tahun 1999 bagi memberi peluang latihan kepada penganggur terutama yang kehilangan kerja akibat kemelesetan ekonomi ketika itu.
Abdul Rahman berkata, kerajaan akan tetap meneruskan skim latihan kemahiran ini dengan mengetatkan syarat kepada penyedia latihan bagi memastikan mereka dapat menyediakan latihan yang bermutu.
Katanya, hanya penyedia latihan yang mempunyai rekod baik termasuk sumber kewangan teguh serta mendapat keyakinan pelatih akan diberi peluang memberi latihan kemahiran kepada penganggur.
"Pemeriksaan kementerian mendapati sesetengah pusat latihan tidak mempunyai peralatan yang mencukupi atau yang sesuai, menyebabkan latihan tidak dapat dijalankan dengan sempurna," katanya.
Abdul Rahman juga menggesa penganggur supaya mengambil peluang mengikuti latihan kemahiran bagi memudahkan mereka mendapat peluang pekerjaan terutama yang di sektor perkilangan dan pembinaan.

