Bekas ADUN BN sertai WARISAN
Bekas anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Ahmad Bujang hari ini mengisytiharkan sokongan kepada kerajaan negeri baharu Sabah yang dipimpin oleh Parti Warisan Sabah (WARISAN), Pakatan Harapan dan UPKO.
Beliau turut menyerahkan borang permohonan keanggotaan WARISAN kepada Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob, yang juga ADUN Sindumin yang baharu dan anggota Majlis Tertinggi WARISAN, ketika mengadakan kunjungan hormat di pejabat menteri itu di Kota Kinabalu, Sabah.
Dalam kenyataannya, Ahmad, yang sebelum ini merupakan naib ketua Umno Bahagian Sipitang, berkata keputusannya menyertai WARISAN adalah sebagai sokongannya terhadap dasar-dasar baharu kerajaan negeri itu.
"Saya juga ingin menegaskan bahawa keputusan untuk menyertai parti yang kini memimpin kerajaan sekarang bukan atas niat untuk memegang atau merebut apa-apa jawatan," katanya.
Sementara itu, Yusof berkata penyertaan Ahmad dalam Warisan itu disambut baik, khususnya bagi memastikan sokongan padu terhadap kerajaan baharu dilakukan secara harmoni.
Ahmad berkhidmat di bawah Barisan Nasional (BN) sebagai ADUN Sindumin selama dua penggal sejak 2008 dan tidak dicalonkan semula pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Mei lalu.
- Bernama

