Lebih 200 syarikat perkapalan sumbang RM1j pada Tabung Harapan
Lebih 200 syarikat perkapalan dan logistik di Pelabuhan Klang dekat sini hari ini menyumbang RM1 juta untuk disalurkan kepada Tabung Harapan.
Mock cheque sumbangan tersebut diserahkan wakil kumpulan syarikat itu, Kapten Ananda Kumar kepada Anggota Parlimen Damansara Tony Pua bagi pihak Kerajaan Persekutuan dalam satu majlis di Shah Alam, malam ini.
Majlis berkenaan turut dihadiri pemain-pemain utama industri perkapalan dan logistik di pelabuhan berkenaan.
Yang menyumbang antaranya adalah Puncak Jupiter Management, CJ Century Logistic MTT Shipping, Beyond Logistic dan Infinity Logistic, Westports Malaysia Sdn Bhd, Opal Asia Shipping, Northport (Malaysia) Berhad, Vertex Mission, Freight Mark, Xpress Feeders, Petikemas Freezone dan Liga Logistics.
Menurut Ananda Kumar, sumbangan berkenaan yang mula dikumpul sejak 4 Jun lepas dibuat atas konsep persaudaraan hasil cetusan idea kesemua syarikat terlibat yang juga merupakan rakan niaga.
"Sumbangan kami dibuat tanpa batasan politik dan kami mengambil langkah sebegini untuk bantu kerajaan melangsaikan hutang negara," kataya kepada pemberita pada majlis berkenaan.
Sementara itu, Tony Pua dalam ucapannya pada majlis berkenaan memuji langkah kesemua syarikat tersebut dan ia disifatkan sebagai semangat patriotik kepada negara.
Setakat 3 petang semalam, Tabung Harapan telah mengumpulkan RM161,896,353.60. Kutipan tabung akan ditamatkan pada 31 Ogos ini.
- Bernama

