CEP tak buat keputusan kerajaan, kata Rais Hussin
Ketua Dasar dan Strategi Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Rais Hussin Mohamed Ariff mengaku terdapat "pertandingan idea" antara pemimpin Pakatan Harapan dan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) berhubung arahan kerajaan.
Bagaimanapun, beliau berkata ada cara meredakan perbezaan pendapat itu kerana cadangan CEP akan dibincangkan terlebih dahulu untuk persetujuan bersama dalam rangka kerja HARAPAN dan keputusan kolektif dibuat dalam mesyuarat kabinet.
"Kami juga berpandukan manifesto HARAPAN [...] keputusan akan dibuat dalam majlis presiden HARAPAN dan kabinet dan sebahagian daripadanya akan dibawa kepada kerajaan," katanya kepada Malaysiakini.
"Jadi, ini adalah proses yang baik dan bersih [...] di manakah CEP yang (dikata) menentukan?" katanya.
Kelmarin Straits Times Singapura (ST) melaporkan bahawa CEP, yang dimaksudkan sebagai badan penasihat, berselisih pendapat dengan pemimpin HARAPAN mengenai arahan kerajaan.
Laporan itu memetik pegawai kerajaan berkata campur tangan CEP menyaksikan perubahan beberapa kakitangan utama dalam kerajaan, termasuk peletakan jawatan gabenor Bank Negara, dua hakim kanan dan speaker Dewan Rakyat. Untuk jawatan speaker PKR dan DAP dilaporkan mahu calon yang berbeza.
Akhbar itu juga melaporkan tahap campur tangan oleh anggota CEP, Tun Daim Zainuddin cukup meresahkan pemimpin HARAPAN.
Rais berkata beliau tidak menolak beberapa pemimpin HARAPAN merasa tidak selesa dengan CEP.
"Dalam kelas 50 pelajar, mungkin satu atau dua orang akan mempunyai isu, perspektif dan pemikiran mereka sendiri. Pandangan seorang atau dua atau tiga (pemimpin) berbanding 50 bukan pandangan umum," katanya.
"Jadi, jika mereka memanggil Singapura Straits Times, menyatakan ini dan mengeluh kerana itu, ia masalah mereka sendiri.
"Mereka yang merasa tidak berpuas hati dengan maklumat dari 'sumber', mungkin mereka tidak memahami proses itu, mungkin mereka tidak berada dalam Majlis Presiden dan kabinet, sebab itu mereka tidak faham bahawa CEP tidak membuat keputusan," katanya.

