Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pesta durian Sg Kandis ditangguh selepas dikritik BERSIH
Diterbitkan:  Jul 26, 2018 10:27 AM
Dikemaskini: 2:36 AM

PRK SG KANDIS | Festival durian percuma yang dirancang akan dianjurkan di Sungai Kandis oleh sebuah koperasi berkaitan kerajaan Selangor ditangguhkan selepas pilihan raya kecil di kawasan itu.

Keputusan itu dibuat selepas badan pemantau pilihan raya, BERSIH mengkritik acara itu yang disifatkan sebagai rasuah dan melanggar peraturan pilihan raya.

Koperasi Hijrah Selangor (Kohijrah) dalam satu kenyataan lewat malam tadi, mengambil maklum peringatan tersebut dan bersetuju untuk menangguhkan acara itu.

Bagaimanapun, koperasi itu berkata karnival Foodtruck Hijrah yang dijadual berlangsung daripada 14 hingga 28 Julai ini telah dirancang sebelum pilihan raya kecil Sungai Kandis.

"Tujuan utama program belanja durian tersebut diadakan sebagai promosi sempena hari terakhir karnival tersebut.

"Pihak kami ingin memaklumkan bahawa jemputan terhadap YAB Datuk Menteri Besar Selangor dan Tuan Zawawi Mughni diadakan secara ad-hoc dan tidak mendapat sebarang pengesahan daripada pihak mereka," kata kenyataan itu.

Pejabat Amiruddin Shari semalam berkata ia tidak mengetahui mengenai penganjuran festival durian berkenaan dan menafikan memberi kebenaran agar imej menteri besar digunakan.

Program itu akan menyaksikan Kohijrah menawarkan sehingga 1,000 biji durian kepada penduduk setempat.

Kohijrah dikaitkan dengan Hijrah Selangor, yang merupakan program kredit mikro untuk usahawan oleh kerajaan Selangor.

Pada pilihan raya kecil 4 Ogos ini, calon Pakatan Harapan, Zawawi Mughni akan ditentang oleh calon BN, Datuk Lokman Noor Adam dan calon bebas Murthi Krishnasamy.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafie pada 2 Julai lalu akibat kanser. Allahyarham memenangi kerusi Sungai Kandis dengan majoriti 12,480 undi pada PRU14.

Lihat Komen
ADS