Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin hari ini menarik balik kenyataan dibuat dalam satu kenyataan akhbar tahun lalu terhadap Setiausaha Persekutuan Catur Malaysia, Sophian A Yusuf.

Ia berhubung kenyataannya yang mengkritik penganjur kejohanan kerana tidak membenarkan peserta berusia 12 tahun memakai skirt pendek.

Berikutan itu, Pesuruhjaya kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Rohani Ismail merekodkan penyelesaian saman tersebut hari ini.

"Syarat penyelesaian itu tidak dapat didedahkan," kata peguam Sophian, Mohd Haris Abdullah.

Haris berkata Sophian juga menarik balik samannya terhadap jurulatih kanak-kanak perempuan itu kerana membuat kenyataan di Facebook selepas jurulatih berkenaan bersetuju mengeluarkan kenyataan itu dari media sosial berkenaan.

Sophian, yang merupakan penolong setiausaha Persekutuan Catur Malaysia, memfailkan saman tersebut pada April lalu, berikutan komen yang dibuat oleh Zuraida terhadapnya selaku pengarah pertandingan bagi Kejuaraan Catur Scholastic Kebangsaan 2017.

Zuraida diwakili oleh peguam Latheefa Koya dan Shahid Adli Kamaridin.

Sophian, 44, selaku plaintif memfailkan saman itu pada 20 Nov 2017 selepas mendakwa Zuraida, 60, mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah pada 29 April 2017 berhubung tindakannya tidak membenarkan kanak-kanak berusia 12 tahun itu daripada menyertai pertandingan catur yang diadakan di Putrajaya pada 14 hingga 16 April 2017.

Dalam pernyataan tuntutan, Sophian, yang ketika itu dilantik sebagai pengarah pertandingan bagi Kejuaraan Catur Scholastic Kebangsaan 2017 mendakwa kenyataan itu telah diterbitkan oleh akhbar dan beberapa portal termasuk MalaysiaKini dan Sin Chew Daily, semata-mata untuk mengaibkan dan menjatuhkan reputasi serta integriti beliau selaku orang ternama dan terkenal dalam dunia catur tempatan dan antarabangsa.

Plaintif turut mendakwa kenyataan itu antara lain membawa maksud bahawa beliau adalah seorang pedophilia dan terangsang apabila melihat skirt pendek yang dipakai kanak-kanak perempuan berkenaan selain mendakwa beliau berpotensi untuk melakukan salah laku seks.

Zuraida dalam pernyataan pembelaan bertarikh 18 Januari tahun lalu menyatakan, kenyataan beliau dibuat dalam suatu keadaan perlindungan bersyarat tanpa sebarang niat jahat dalam isu-isu berkepentingan awam.

Katanya, kenyataan tersebut merupakan komen berpatutan untuk menyuarakan pendapat bahawa adalah tidak wajar untuk kanak-kanak berusia 12 tahun dihalang daripada suatu pertandingan catur kerana pakaiannya.

Zuraida menyatakan, kenyataannya itu berdasarkan fakta-fakta daripada artikel MalayMail Online pada 28 April 2017: 12-year-old forced to quit chess tournament over ‘seductive dress’.