SG KANDIS | Zawawi Mughni berkata kunjungan Datuk Seri Najib Razak ke Sungai Kandis untuk kempen BN semalam sebenarnya menguntungkan beliau, bukan parti lawan.

Ini susulan rakyat sudah menolak Najib dalam pilihan raya umum lalu, kata calon PKR bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis itu.

“Saya tidak tahu strategi mereka ini akan menguntungkan mereka atau saya.

“Tetapi, saya yakin kedatangan mantan perdana menteri itu akan menambahkan lagi sokongan kepada saya kerana penolakan rakyat terhadap Najib adalah jelas,” kata beliau.

Dalam sidang media di DUN itu pagi ini, Zawawi juga berkata, beliau difahamkan ada satu lawatan Najib terpaksa dibatalkan kerana melihat “penolakan masyarakat”.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi BN berkaitan dakwaan itu.

Semalam, Najib turun padang bagi membantu calon BN, Datuk Lokman Noor Adam dengan melawat kawasan dan beramah-mesra dengan masyarakat.

Beliau turut menyambut sambutan hari jadinya ke-55 serta bertemu jentera parti di kawasan itu.

Dalam sidang media harian di Bilik Gerakan Utama PKR Sungai Kandis, hari ini, Zawawi juga ditanya berkaitan saranan anggota Jawatankuasa Pusat PAS Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz supaya menyokong calon BN.

Zawawi bagaimanapun masih yakin perkara itu tidak akan berlaku, berdasarkan pertemuan langsungnya dengan pengundi.

“Tetapi, pengalaman saya apabila bertemu dengan pimpinan PAS di peringkat akar umbi, kebanyakan mereka juga adalah rakan-rakan saya ketika belajar, kerja dakwah dan kemanusiaan dan mereka menyatakan sokongan di belakang dan bukannya terbuka.

“Ini yang menyebabkan penyokong PAS dan dengan latar belakang saya, mereka yakin ini adalah pimpinan pilihan yang mereka akan undi nanti.

“Secara peribadi, mereka menyatakan sokongan termasuklah bukan dari PAS iaitu kalangan Umno,” kata guru agama itu.

Nik Abduh, anak ikon PAS allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat, semalam antaranya berkata:

“Jika anda bertanya, tidakkah sudah jelas difahami bahawa PAS mendorong ahlinya mengundi Umno? Saya jawab - Ya, di PRK Sungai Kandis. Itulah yang saya fahami.”