Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKR Johor: Ketua pembangkang patut jadi pengerusi PAC DUN

Ketika BN Johor mengadu kerajaan negeri tidak serius mengiktiraf peranan pembangkang, Pengerusi PKR negeri Hassan Karim meminta pentadbiran HARAPAN di Nusajaya membenarkan anggota pembangkang dilantik menjadi pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) di Dewan Undangan Negeri.

Hassan berkata di banyak negara, malah di Selangor, anggota pembangkang dicalonkan untuk memegang pengerusi PAC bagi memastikan kecekapan semak dan imbang.

"Kerana johor kuasa MB besar, banyak portfolio yang libatkan kepentingan di bawah jagaan menteri besar dan exco-exco lain, kita ada konsep ministerial collective responsibility di bawah MB, susah nak tegur.

"Kalau PAC backbencher kerajaan, kadang kala pemisahan kuasa tak ada. Jadi kalau nak kebaikan semak dan imbang, urusan paling penting adalah kewangan...

"Kalau kita cakap reformasi, kenapa kita takut? Lantiklah pembangkang,” kata MP Pasir Gudang kepada Malaysiakini.

'Pejabat tanpa staf'

Hassan berkata Ketua Pembangkang DUN Johor Datuk Hasni Mohammad merupakan bekas exco pada zaman BN memerintah dan memiliki pengalaman luas dalam pentadbiran negeri.

Oleh yang demikian, Hassan berpendapat Hasni akan membantu pembangunan Johor yang bukan sahaja menjadi tanggungjawab yang dipikul di bahu kerajaan semata-mata.

"Kalau mereka mahu, mereka tak akan jadi PAC chairman yang bodoh. Dia mesti tunjuk cara yang baik," kata Hassan lagi.

Sebelum ini, Hasni mendakwa pentadbiran Nusajaya tidak mematuhi manifesto kerajaan HARAPAN untuk meletakkan wakil rakyat pembangkang mempengerusikan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri (PAC).

Bagaimanapun, Hasni berkata beliau hanya menerima tambahan elaun RM1,000 sebulan dan sebuah pejabat tanpa kakitangan.

Mengenai dakwaan elaun tambahan yang kecil, Hassan menggesa pentadbiran negeri untuk tidak mendiskriminasikan pembangkang sebagaimana yang dilakukan ketika era BN dahulu.

"Saya rasa kena menghormati kedudukan ketua pembangkang, ketua pembangkang ada peranan dia jadi kalau sudah kerajaan Johor sedia pejabat itu bagus tapilah sedia staf-staf asas untuk jalankan kerja.

"Dulu kita pun complain, ketua pembangkang Johor tidak diberi layanan sewajarnya, jadi (sekarang) kita jadi kerajaan, buat perubahan untuk elaun yang munasabah.

"Kerajaan negeri boleh jimat perbelanjaan yang lain yang tak perlu. Tetapi jawatan ketua pembangkang yang mustahak kerana mereka pun nak sama-sama menjaga dan membangun negeri Johor. Kita mesti jangan victimise (memangsakan) mereka seperti mereka pernah anak-tirikan kita," katanya.

Lihat Komen
ADS