Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan setakat hari ini tidak ada mana-mana calon tampil bagi mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk jawatan presiden parti dalam pemilihan akan datang.

“Setakat ini yang dah betul-betul mengesahkan (bertanding jawatan presiden) adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim sahaja,” katanya kepada Malaysiakini dan Bernama selepas merasmikan pameran Rantaian Peruncitan Malaysia 2018 (MIRF) di Kuala Lumpur, hari ini.

Saifuddin yang juga menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata demikian mengulas perkembangan semasa pencalonan pemilihan parti itu akhir Ogos ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata beliau juga akan ke Turki esok bagi melengkapkan borang pencalonan ketua umum PKR itu.

“Dan oleh kerana beliau masih di luar negara maka proses bagi melengkapkan borang pencalonan beliau itu perlu diuruskan.

“Secara kebetulan saya akan menziarahi beliau esok, di Turki dan saya akan bincang dengan beliau mengenai persiapan beliau dalam mengambil bahagian dalam pemilihan akan datang,” katanya.

Sementara itu, diminta mengulas cadangan menghapuskan jawatan ketua umum yang kini disandang Anwar, Saifuddin berkata perkara itu tidak akan dibincangkan pada pertemuan esok.

“Cadangan bagi menghapuskan jawatan ketua umum PKR kita akan bincang kemudian,” katanya ringkas.

Berhubung perjalanan pemilihan parti, Saifuddin berkata penamaan calon bagi peringkat negeri-negeri akan bermula pada 29 Julai ini.

“Setakat ini jadual perjalanan pemilihan berjalan dengan baik dan pada hujung minggu ini akan berlangsung penamaan calon di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sarawak.

“Dan setiap minggu itu akan dituruti dengan negeri-negeri lain,” katanya.

Selain itu, tambah Saifuddin proses pemilihan parti itu kini akan dikendalikan sepenuhnya oleh Jawatankuasa Pilihan Raya parti.

“Jawatankuasa pilihan raya parti yang diketuai oleh Datuk Rashid Din akan menguruskan perjalanan pemilihan parti mulai saat ini dan ia sekali gus tidak berkaitan dengan pejabat setiausaha agung lagi,” tambahnya.