'Letak jawatan pengarah urusan Khazanah tindakan bijak'
Menteri Kewangan Lim Guan Eng memuji peletakan jawatan pengarah urusan Khazanah dan sembilan lagi pengarahnya sebagai tindakan yang bijak.
"Tindakan bijak ini akan membolehkan perdana menteri membuat pilihannya," katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.
Beliau berkata perdana menteri akan memutuskan siapa yang akan dilantik ke jawatan lembaga pengarah urusan itu.
"Biasanya perdana menteri akan membuat keputusan muktamad, pada dasarnya beliau adalah perdana menteri.
"Saya fikir kita patut serahkan hal itu di atas kebijaksanaan perdana menteri (Dr Mahathir Mohamad)," kata Lim.
Kabinet bincang
Bagaimanapun, Lim menegaskan perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat kabinet semalam.
Terdahulu hari ini, Khazanah mengeluarkan kenyataan mengumumkan peletakan jawatan Tan Sri Azman Mokhtar dan tujuh ahli lembaga pengarah lain.
Mereka ialah Datuk Seri Nazir Razak, Datuk Dr Nirmala Menon, Tan Sri Mohamed Azman Yahya, Datuk Mohammed Azlan Hashim, Yeo Kar Peng, Tan Sri Andrew Sheng Len Tao dan Tan Sri Raja Arshad Raja Uda.
Terdahulu pada awal bulan ini, Mahathir mendakwa bahawa Khazanah telah menyimpang daripada objektif asalnya untuk membantu bumiputera.

