Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Manifesto kaum India: MIRA dakwa jawapan bercanggah menteri

Parti Tindakan Hak Minoriti (MIRA) kecewa dengan jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong, yang menyatakan kerajaan tidak menetapkan kuota untuk sesuatu kaum, agama dan etnik.

Menyifatkan menteri mungkin terlepas pandang kepada manifesto khas Pakatan Harapan kepada kaum India, Presiden Mira A Rajaretinam mengakui jawapan menteri di Dewan Rakyat mengelirukan, khususnya buat kaum India.

"Kami Mira, rakan strategik HARAPAN rasa kecewa dengan jawapan yang bercanggah dengan manifesto khas HARAPAN kepada kaum India yang mengandungi 25 perkara.

"Walaupun, kami setuju dengan beberapa pihak bahawa menteri tersebut mungkin terlepas pandangan dengan manifesto, pada masa yang sama kami harap beliau lebih berhati-hati pada masa hadapan," kata Rajaretinam kepada Malaysiakini.

Menurutnya, jawapan menteri yang mendapat liputan luas di akhbar-akhbar Tamil hari ini jelas mengelirukan rakyat India.

"Dari pagi, saya terima banyak panggilan. Kerajaan HARAPAN juga dikritik pedas di media sosial.

“Kami mahu, pemimpin tertinggi HARAPAN tampil ke hadapan dan memberi penjelasan terhadap kekeliruan ini," ujarnya lagi.

Semalam, anggota parlimen Tapah Datuk Seri M Saravanan membangkitkan janji kerajaan terhadap kuota 10 peratus penyertaan kaum India di sektor perkhidmatan awam.

Liew menjawab kerajaan sentiasa mengamalkan kaedah merit dan kompetensi bagi pengambilan dan dalam isu pelantikan ke perkhidmatan awam.

Sementara itu, Rajaretinam turut menegaskan kerajaan perlu menyegerakan penubuhan unit khas kaum India seperti dijanjikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Walaupun, MIRA sebahagian daripada Kerajaan HARAPAN, dan menyedari kerajaan HARAPAN sedang merangka unit khas ini, kami nak proses tersebut perlu dipercepatkan," tambahnya lagi.

Lihat Komen
ADS