Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berpendapat, isu kebocoran kandungan surat kepada Agensi Risikan Pusat (CIA) tidak wajar berlaku.

Malah, beliau juga berkata, secara polisinya perkara seperti itu tidak wajar diberikan komen memandangkan ia merupakan rahsia kerajaan.

"Saya tidak tahu (isu surat kepada CIA), surat itu dibuat oleh badan perisik kita. Dan bukan dasar kita nak dedahkan surat tersebut.

"Ini rahsia kerajaan, kalau dedahkan maknanya tak ada apa-apa lagi yang boleh dianggap sebagai rahsia dalam negara," katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas soalan pemberita berhubung kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang akan melakukan siasatan berhubung surat tersebut.

'Tak boleh sah dan nafi'

Selain itu, bekas menteri kewangan itu sekali lagi menegaskan bahawa beliau tidak boleh memberi sebarang pengesahan berhubung surat yang didakwa memohon sokongan Amerika Syarikat (AS) itu.

"Saya tidak boleh mengesahkan atau menafikan. Saya tidak tahu apa yang ditulis.

"Secara dasarmya tidak patut memberikan komen terhadap perkara ini dan mengulas mengenai kebocoran seperti ini kerana ia sangat 'bad precedent'," ujarnya lagi.

Malaysiakini sebelum ini mendedahkan, lima hari sebelum pilihan raya umum 9 Mei, bahagian penyelidikan Jabatan Perdana Menteri yang disebut sebagai unit risikan telah menulis surat kepada pengarah CIA, Gina Haspel.

Surat sebanyak tiga halaman yang dilihat Malaysiakini itu menyatakan Najib dijangka memenangi pilihan raya dengan hanya undi yang secukupnya untuk membentuk kerajaan.

Surat itu meminta AS menyatakan sokongan terhadap pentadbiran Najib walaupun cuma menang dengan 'majoriti mudah atau hanya satu kerusi'.

Bagaimanapun sebelum ini, Najib telah menafikan dan tidak tahu menahu mengenai surat berkenaan.

Lihat Komen
ADS