'Saya 'book keeper', penjaga kastam, pengutip cukai dan banyak lagi'
Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata portfolio dipegangnya bukan sekadar membabitkan penyimpanan kira-kira (bookkeping) seperti didakwa Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.
"Jika kamu ingin mengatakan saya seorang pemegang kira-kira kerana saya bertanggungjawab terhadap akauntan negara, tidak mengapa.
"Tetapi saya juga bertanggungjawab terhadap kastam. Saya juga seorang 'penjaga kastam', saya juga bertanggungjawab ke atas LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri), saya juga pengutip cukai. Saya juga bertanggungjawab terhadap agensi lain ...
"Saya memainkan banyak peranan," kata Setiausaha Agung DAP kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Minggu lalu, Wee (BN - Ayer Hitam) memberitahu Dewan Rakyat bahawa kuasa menteri kewangan telah dikurangkan dengan kewujudan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, yang diketuai Datuk Seri Azmin Ali.
"Persepsi rakyat ialah kuasa menteri kewangan telah dikurangkan, jadi book keeper. Ini persepsi sebab mereka melihat agensi-agensi di bawah MOF telah diasingkan, dimasukkan dalam (bidang kuasa) menteri di bawah Hal Ehwal Ekonomi yang mempunyai kuasa lebih," kata Wee.
Dilaporkan bahawa beberapa entiti termasuk Petronas, Khazanah Nasional dan Permodalan Nasional Berhad yang sebelum ini diletakkan di bawah kementerian kewangan, telah dipindahkan ke Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.
Lim menuduh pemimpin MCA itu hanya memfokuskan kepada satu aspek yang berkaitan dengan kementeriannya.
"Dia berhak atas pendapatnya sendiri. Apa pun yang anda katakan, sekurang-kurangnya saya bertanggungjawab ke atas Kementerian Kewangan, dia malah tiada tanggungjawab (terhadap kementerian itu)," katanya.
Selasa lalu, Azmin juga menafikan bahawa kementeriannya telah mengurangkan kuasa portfolio menteri kewangan.
"Itu versi MCA. Saya tidak akan memberi komen. Pastinya saya tidak akan setuju dengan MCA," jelasnya.

