Kajiselidik IDE di Sg Kandis: Anak tempatan antara pilihan pengundi
Anak tempatan dan tokoh agama merupakan antara kriteria wakil rakyat yang dimahukan oleh pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, demikian menurut kaji selidik yang dijalankan Institut Darul Ehsan (IDE) pada 11 dan 12 Julai lepas.
Kluster Penyelidikan IDE dalam satu kenyataan hari ini berkata, kaji selidik bertajuk ‘Survei Persepsi Rakyat untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) N49 DUN Sungai Kandis’ itu menunjukkan bahawa 35 peratus daripada pengundi mengharapkan calon berkenaan adalah anak tempatan dan 13 peratus meletakkan tokoh agama.
Sementara 48 peratus lagi inginkan calon tersebut setanding dengan wakil rakyat terdahulu.
“Calon yang mempunyai latar belakang anak tempatan dilihat lebih memenuhi kehendak pengundi yang inginkan suara kepimpinan lokal mewakili mereka dalam memenuhi isu-isu dibangkitkan oleh masyarakat setempat. Selain itu, pengundi juga berharap wakil rakyat yang dipilih mampu untuk berfungsi dan menjalankan tugas standing dengan wakil rakyat terdahulu,” demikian menurut kenyataan itu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) calon PKR Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei menang dengan majoriti 12,480 undi menewaskan calon BN, PAS dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).
PRK DUN Sungai Kandis merupakan PRK pertama diadakan selepas PRU14 berikutan kematian Mat Shuhaimi akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas, dan bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni, calon BN Datuk Lokman Noor Adam dan calon Bebas, K. Murthy.
Menurut Kluster Penyelidikan IDE, PRU14 memperlihatkan bahawa DUN Sungai Kandis antara DUN di Selangor yang terbentuk kesan daripada proses persempadanan Pilihan Raya, iaitu pengundi Sungai Kandis kini terbahagi dua antara pengundi DUN Sri Andalas dan DUN Sri Muda.
Akibat persempadanan itu, DUN Sri Andalas telah bertukar kepada DUN Sungai Kandis menjadikan kawasan tersebut mempunyai 71.34 peratus pengundi Melayu.
Mengenai mood atau sikap pengundi dalam menghadapi PRK Sungai Kandis, kenyataan itu berkata, 81 peratus pengundi merasa teruja dan bersemangat untuk turun mengundi terutama dalam kalangan pengundi pertengahan antara 35 tahun ke atas, sementara pengundi muda masih mengambil sikap tunggu dan lihat.
“Sebanyak 19 peratus pengundi dari pelbagai latar belakang umur pula mengambil sikap pelbagai untuk PRK, dengan alasan seperti tidak turun mengundi (tujuh peratus), bosan untuk mengundi (sembilan peratus), sukar mendapat cuti termasuk sukar mengundi kerana tinggal berjauhan.
“Bagaimanapun, faktor calon, kempen dan perkara lain akan memberi kesan kepada peratusan keluar mengundi pada 4 Ogos depan yang dijalankan pada Sabtu. Pada PRU14, peratusan yang turun mengundi adalah 85.8 peratus,” katanya.
Sehubungan itu, Kluster Penyelidikan IDE berkata, menjadi cabaran kepada parti-parti politik yang bertanding untuk berkempen bagi memastikan pengundi turun mengundi.
Dalam pada itu, kenyataan tersebut menyatakan, kaji selidik membabitkan pengundi di 19 daerah mengundi di DUN berkenaan turut menganalisis sikap pengundi dalam proses pengundian ketika PRU14 bagi melihat faktor-faktor yang mendorong mereka membuat keputusan.
“Jelas bahawa faktor Tun Dr Mahathir Mohamad, faktor menolak BN, manifesto untuk menghapuskan GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) dan kemampuan Pakatan Harapan mentadbir kerajaan khususnya Kerajaan Negeri Selangor, telah berjaya menarik sokongan pengundi DUN khususnya undi orang Melayu.
“Dapatan kajian ini juga menjadi indikator bahawa kejayaan pemerintahan Pakatan Rakyat/ Pakatan Harapan di Selangor selama 10 tahun telah membuatkan orang Melayu di Selangor merasakan Pakatan Harapan boleh menjadi wadah politik orang Melayu,” katanya.
DUN Sungai Kandis mempunyai 51,230 orang pemilih berdaftar yang terdiri daripada 51,217 orang pengundi biasa dan 13 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
- Bernama

