Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bekas IGP kini 'menganggur' lepas letak jawatan Prasarana
Diterbitkan:  Jul 26, 2018 3:32 PM
Dikemaskini: 2:15 PM

Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan beliau meletak jawatan sebagai pengerusi syarikat pengangkutan awam negara Prasarana Malaysia Bhd.

Khalid memberitahu Sin Chew Daily telah menyerahkan surat perletakan jawatan pada 17 Julai lalu dan dipetik akhbar berbahasa Cina itu berkata sekarang beliau "menganggur."

Pentadbiran Datuk Seri Najib Razak melantik Khalid sebagai pengerusi lembaga pengarah Prasarana pada 5 September tahun lalu, sehari selepas beliau bersara daripada jawatan ketua polis negara.

Khalid menjadi individu paling terbaharu dalam senarai panjang pemberhentian atau perletakan jawatan daripada agensi utama kerajaan dan GLC sejak Pakatan Harapan membentuk kerajaan persekutuan.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berulang kali berjanji mahu memotong bonus dan gaji para pengarah GLC.

Dalam perkembangan berkaitan, The Edge Financial Daily melaporkan Presiden Prasarana dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Prasarana Masnizam Hisham juga mungkin akan meninggalkan syarikat itu juga.

Masnizam telah berkhidmat dengan Prasarana selama 12 tahun dan pernah memegang beberapa jawatan utama.

Akhbar itu memetik sumbernya melaporkan perletakan jawatan Masnizam "tidak dapat dielakkan" kerana Prasarana cuba mendapatkan dana tambahan daripada kerajaan untuk pembinaan LRT3.

Pada 2015, pentadbiran Najib mendakwa LRT3 hanya memakan belanja kerajaan sebanyak RM9 bilion.

Bagaimanapun, pentadbiran semasa mengatakan bahawa Prasarana telah memaklumkan Putrajaya pada bulan Mac, ketika itu masih di bawah pentadbiran Najib, bahawa kos sebenar bagi projek itu ialah RM31.45 bilion dan meminta kerajaan menjamin terbitan semula bon sebanyak RM22 bilion.

Kabinet Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah memutuskan bahawa Prasarana kini perlu mengurangkan kos projek itu kepada RM16.63 bilion.

Lihat Komen
ADS