Seorang pembantu kedai mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menikam seorang kru televisyen Astro Awani sehingga cedera parah, tiga tahun lalu.

M. Arivaathan, 24, didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera parah ke atas Ahmad Hawari Zakaria, 36, yang ketika itu merupakan kru stesen televisyen dengan menikamnya menggunakan pisau iaitu satu senjata yang boleh mendatangkan kematian.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah unit rumah di Kondominium Platinum, Jalan Usahawan 2, Setapak, Wangsa Maju, di sini pada 1.41 pagi, 19 Mei 2015 mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Farith Muhammad Faizal tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.

Hakim Dr Gan Chee Keong tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 24 Ogos untuk sebutan semula kes.

Difahamkan, kejadian itu berlaku disebabkan perselisihan faham antara mangsa dan tertuduh dan Ahmad Hawari yang telah ditikam pada bahagian perut kemudian dirawat di Unit Rawatan Rapi, Hospital Kuala Lumpur.

Ejen pelancongan

Sementara itu, seorang ejen pelancongan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan sengaja mencederakan seorang peniaga dengan menendang dan menumbuk mangsa di muka dan kepalanya, Mei lalu.

Mohammad Muhaimin Mohammad Taufik, 26, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Aidi Amran Abu Bakkar Seddek, 44, dengan menendang dan menumbuk mangsa di muka menggunakan kaki dan tangan di lobi sebuah kondominium Villa Putri, Jalan Tun Ismail pada jam 7.30 malam 12 Mei lalu.

Lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Adilah Noordin mencadangkan jaminan RM5,000 manakala Mohammad Muhaimin yang tidak diwakili peguam merayu jaminan minimum atas alasan dia menanggung isteri yang sedang hamil dan masih belajar.

Majistret Mahyudin Mohmad Som membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Ogos untuk sebutan semula kes.

- Bernama

.

 

- Bernama