Kerajaan hanya boleh nasihat pengguna - Saifuddin
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata kerajaan hanya boleh memberi nasihat kepada pengguna berkaitan harga daging menjelang perayaan Aidiladha bulan depan.
Saifuddin berkata, ini kerana daging tidak tertakluk di bawah barang kawalan, justeru harganya ditentukan mengikut permintaan dan penawaran.
“Kerajaan hanya boleh beri nasihat kepada pengguna supaya buat pilihan yang bijak.
"Peniaga pula kerajaan suka nasihati supaya amalkan etika perniagaan yang baik,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan pameran Rantaian Peruncitan Malaysia 2018 (MIRF) di Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai langkah kerajaan mengawal harga daging tempatan menjelang sambutan hari raya Aidiladha bulan depan.
Menurutnya, bekalan daging tempatan mempengaruhi harganya, terutamanya di musim perayaan.
“Negara harus usahakan bagi memastikan pengeluaran daging mencukupi baru tidak akan membebankan pengguna, dahulu kita dah ada projek NFC (Pusat Fidlot Kebangsaan), tetapi gagal,” tambahnya.
Isnin lalu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub berkata pengguna tidak perlu bimbang kerana bekalan daging lembu, kerbau dan kambing untuk pasaran negara dijamin mencukupi.
Beliau berkata, berdasarkan statistik Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), jumlah lembu, kerbau dan kambing mencukupi bagi menampung keperluan semasa terutama pada musim perayaan, malah ia melebihi permintaan.

