Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes Kevin Morais: Bicara ditangguh, tertuduh enggan beri keterangan
Diterbitkan:  Jul 26, 2018 4:02 PM
Dikemaskini: 10:04 AM

Perbicaraan kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais di Mahkamah Tinggi hari ini ditangguhkan kerana tertuduh ketujuh enggan memberi keterangan disebabkan pemikirannya tidak stabil.

S. Ravi Chandaran, 47, saksi pembelaan keenam yang juga saksi pembelaan terakhir dalam perbicaraan kes tersebut sepatutnya menyambung keterangannya tetapi selepas mengangkat sumpah, dia tidak mahu memberi keterangan.

"Saya tidak dapat memberi keterangan kerana pemikiran saya tidak stabil kerana saya tak cukup tidur dan saya juga tidak diberi makanan semalam. Semalam lepas balik dari mahkamah, saya diasingkan di dalam sebuah bilik tertutup bersama lima warga asing. Saya tak tidur sepanjang malam kerana mereka asyik berbual dan tidak tidur.

"Sebelum ini saya ditempatkan bersama tertuduh-tertuduh dalam kes ini. Semalam lepas balik dari mahkamah, saya tak diberi makanan. Selalu saya diberi makanan lepas balik dari mahkamah," katanya dalam bahasa Tamil yang diterjemahkan oleh jurubahasa mahkamah.

Hakim Datuk Azman Abdullah kemudiannya memanggil pihak jabatan penjara Sungai Buloh untuk mengesahkan perkara itu bagaimanapun tiada wakil dari penjara ketika perbicaraan kes itu.

"Saya tidak boleh berkata apa-apa sebab ia bukan di bawah bidang kuasa saya. Ia adalah di bawah kuasa pihak jabatan penjara. Mungkin dia ditempatkan berasingan kerana kenyataannya semalam yang mengatakan nyawanya dalam bahaya. Saya meminta peguam V. Rajehgopal yang mewakilinya meneruskan pemeriksaan utama," kata Hakim itu.

Bagaimanapun, prosiding yang masuk hari ke-16 itu tidak dapat diteruskan kerana tertuduh tetap tidak mahu menjawab soalan peguam malah mengadu pemikirannya tidak stabil untuk memberi keterangan.

Semalam, Ravi Chandaran dalam keterangan membela dirinya memberitahu bahawa itu mungkin keterangan terakhirnya dan dia tidak pasti sama ada dia masih hidup ataupun akan mati selepas memberi keterangan itu.

R.Dinishwaran, A.K. Thinesh Kumar, M.Vishwanath; S.Nimalan, Ravi Chandaran, dan doktor tentera Kolonel Dr R. Kunaseegaran, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membunuh Kevin Morais dalam perjalanan dari Jalan Dutamas 1, Sentul ke No.1 Jalan USJ 1/6D, Subang Jaya, antara 7 pagi dan 8 malam, 4 Sept 2015 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dinishwaran, 26; Thinesh Kumar, 25; Vishwanath, 28; Nimalan dan Ravi Chandaran, diwakili peguam Rajehgopal manakala Dr Kunaseegaran, 55, diwakili peguam Datuk N.Sivananthan dan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung esok.

- Bernama

Lihat Komen
ADS