Lokman: Zawawi perlu 'perisik' baru
SG KANDIS | Dakwaan bahawa lawatan Datuk Seri Najib Razak ke Sungai Kandis tidak mendapat sambutan sehingga satu programnya terpaksa dibatalkan adalah tidak betul, kata Datuk Lokman Noor.
“Jadi, tidak benar dakwaan bahawa Najib ditolak rakyat. Malah, Najib semalam melawat 10 rumah penduduk, diikuti tambahan satu rumah lagi.
“Saya cadang beliau (calon PKR) pasang ‘perisik’ baharu kerana penting untuk dia mendapatkan maklumat betul sebelum bercakap,” kata calon BN bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.
Lawan Lokman daripada PKR Zawawi Mughni, pagi tadi berkata beliau difahamkan ada satu lawatan Najib di Sungai Kandis terpaksa dibatalkan semalam kerana melihat “penolakan masyarakat”.
Guru agama itu juga berkata berkata kunjungan Najib Razak ke Sungai Kandis untuk kempen BN semalam sebenarnya menguntungkan beliau, bukan parti lawan.
Ini susulan rakyat sudah menolak Najib dalam pilihan raya umum lalu, katanya.
Sementara itu, bercakap selepas program ziarah di Taman Setia, Klang, Lokman berkata, pandangan Zawawi mungkin relevan sebelum 78 hari lalu kerana ketika itu ramai yang terpedaya dengan fitnah Najib mencuri RM2.6 bilion.
“Saya anggap Zawawi mungkin lupa tahun ini adalah suasana pasca pilihan raya.
“Tidak semua orang termakan fitnah, tambahan mereka gagal mendakwa Najib dengan tuduhan mencuri wang 1MDB RM2.6 bilion sejak 78 hari lalu.
“Sudah pasti ramai yang bersimpati terhadap Najib yang teraniaya akibat fitnah HARAPAN,” katanya.

