Malaysiakini BERITA

'Tindakan HARAPAN batal, kaji projek jejas pelabur asing'

Zulaikha Zulkifli  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Tindakan Pakatan Harapan (HARAPAN) yang membatalkan atau mengkaji semula projek-projek mega akan memberi gambaran buruk terhadap negara ini, kata bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Malah, Najib turut khuatir tindakan tersebut juga akan menjejaskan pelabur asing.

“Tak semestinya semua yang kita buat dibatalkan dan dikaji semula. Sepatutnya ambil langkah, mana yang baik teruskan, mana yang perlu kaji, kaji semula.

“Ini akan timbul ketidaktentuan dalam pasaran, pelabur kurang yakin, masalah perancangan akan berlaku, projek tergendala dan sebagainya. Inilah suasana hari ini yang membimbangkan rakyat dan juga pihak-pihak yang terlibat dalam bidang pelaburan dan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

'Pendapatan rakyat bertambah'

Justeru, anggota parlimen Pekan itu berharap agar kerajaan baru HARAPAN tidak semata-mata menyalahkan kerajaan BN sebelum ini dan meminta mereka bersikap lebih bertanggungjawab.

“Bila kita menyerahkan kerajaan ini kepada HARAPAN, kita serah negara dan ekonomi yang kukuh yang mengalami kadar pertumbuhan positif selama sembilan tahun berturut-turut.

“Kita melihat pendapatan rakyat bertambah, inflasi rendah dan pengangguran juga rendah.

“Jadi apa yang saya harap ialah, kerajaan baru ini tidak mengamalkan pendekatan menyalahkan segalanya pada kerajaan dulu kerana mereka gagal tunai janji dalam manifesto," katanya lagi.

Selepas memenangi Putrajaya pada 9 Mei lalu, kerajaan HARAPAN umum akan mengkaji atau menangguhkan beberapa projek mega yang diluluskan kerajaan sebelum ini.

Ekonomi luaran

Antaranya ialah projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, MRT3, LRT3 dan Landasan Berkembar Pantai Timur (ECRL).

Sehubungan itu, bekas menteri kewangan itu berkata, tindakan HARAPAN yang sering mendakwa hutang negara berjumlah RM1 trilion juga akan mengakibatkan pelabur ketakutan.

“Ia akan menjejaskan pasaran jika anda terus katakan hutang sebanyak RM1 trilion dan anda dapat lihat aliran negatif modal asing keluar setiap hari kecuali dua hari dalam 70 hari mereka berkuasa.

“Ia merupakan amaran dan kita perlu berhati-hati kerana mungkin kita menembak diri kita sendiri.

“Ekonomi Malaysia merupakan ekonomi luaran, jika apa sahaja yang kita lakukan tidak memberi keyakinan kepada dunia, ia akan memberi kesan,” ujar Najib lagi.