SG KANDIS | Calon BN dalam pilihan raya kecil Sungai Kandis Datuk Lokman Noor Adam mengucapkan terima kasih terhadap pemimpin PAS yang menyeru anggota parti itu mengundinya.

Katanya, kali ini pertama kali kedua-dua parti itu bersolidariti dalam usaha menentang Pakatan Harapan.

“Terima kasih atas sokongan diberi PAS.

"Saya berharap semangat yang sama dapat diterjemah di peringkat akar umbi.

“Semoga Sungai Kandis menjadi lembaran baharu ukhuwah Islamiah di antara Umno dan PAS,” katanya.

Anggota Jawatankuasa PAS Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata, walaupun tiada arahan jelas, menurut pemahamannya pimpinan PAS mahu penyokongnya mengundi Umno.

"Secara jujur saya memahami arahan parti adalah mendorong ahli PAS, penyokong PAS undi Umno dan ia perlu antaranya untuk memastikan DUN Selangor ditambah kekuatan pembangkangnya supaya lebih kuat," katanya.

Dalam pilihan raya 9 Mei lalu, calon PAS Mohd Yusof Abdullah mendapat 7,573 undi , di belakang calon BN Kamaruzzaman Johari (11,518) dan PKR allahyarham Shuhaimi Shafie (23,998 undi).

Terdapat lebih 50,000 pengundi di kawasan itu.