Terdapat dua kemudahan baru pusat media di parlimen hari ini, iaitu dispenser air dan mesin minuman kopi.

Syarikat air mineral Spritzer dan pengeluar kopi segera, Chek Hup Sdn Bhd bersetuju menyediakan kemudahan berkenaan untuk parlimen selama lima tahun.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada penaja korporat Chek Hup dan Spritzer.

"Setiap kali parlimen bersidang, mereka bersetuju untuk menyediakan kemudahan itu selama lima tahun, selagi Pakatan Harapan menjadi kerajaan," kata Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming kepada Malaysiakini hari ini.

Spritzer menyediakan bekalan botol air bagi dispenser untuk air panas dan sejuk, manakala Chek Hup membekalkan kopi putih Ipoh dan teh tarik.

Persekitaran mesra media

Nga yang juga MP Teluk Intan berkata perkara ini sebahagian daripada reformasi parlimen dan komitmen HARAPAN untuk menyediakan persekitaran yang mesra media di parlimen.

"Walaupun nampak remeh tetapi saya percaya tindakan kecil ini amat bermakna kepada media.

"Paling bagus, kami tidak membelanjakan satu sen pun daripada rakyat kerana ia mendapat tajaan Spritzer dan Chek Hup," katanya yang pernah menjadi MP Taiping itu.

Nga memberitahu Malaysiakini beliau mengusahakan penajaan daripada dua syariokat itu dan dispenser air yang baru akan disediakan juga untuk kakitangan parlimen dan pejabat speaker.

Ibu pejabat Chek Hup terletak di Ipoh manakala Spritzer merupakan syarikat air mineral terkemuka yang berpengkalan di Taiping.