Kemalangan babit pelajar di Pahang meningkat
Jumlah kemalangan yang melibatkan pelajar sekolah di negeri ini semakin meningkat, kata Ketua Polis Pahang Datuk Seri Rosli Ab Rahman.
Beliau berkata sebanyak 192 kes direkodkan setakat Jun lalu, meningkat 6.1 peratus daripada 181 kes bagi tempoh yang sama pada 2017.
Daripada jumlah itu, 21 kes melibatkan kematian, menurun empat kes berbanding tahun lalu, manakala kes kecederaan parah adalah sebanyak 16 kes, katanya.
"Antara penyebab kemalangan ini berlaku ialah memotong atau menukar haluan selain terbabas akibat kesilapan sendiri," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Hadiah dan Sijil Penghargaan Kor Kadet Polis Pahang di Kuantan hari ini.
Majlis di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) di sini, turut dihadiri Pengarah Pendidikan Pahang Dr Tajuddin Mohd Yunus.
Rosli menambah setakat pertengahan tahun ini, pihaknya telah mengeluarkan 749 saman kepada pelajar, berbanding 729 saman untuk tempoh yang sama pada tahun 2017.
"Saman paling banyak dikeluarkan kerana tidak mempunyai lesen memandu iaitu 292 kes, tidak memakai topi keledar (152), menunggang di bawah umur (73), tiada lesen motosikal (62) dan tidak dilindungi insurans (54).
"Selain itu, saman juga dikeluarkan bagi kesalahan tidak menampak lesen L/P (36 kes), tiada cermin sisi (29 kes), kesalahan berkaitan nombor plat (35) dan kesalahan aksesori (16)," katanya.
Pada perkembangan lain, Rosli berkata jumlah sekolah "hot spot" di negeri ini masih terkawal, iaitu sebanyak 30 buah sekolah, dengan tiga daripada dikategorinya sebagai mempunyai masalah dadah.
Beliau menambah untuk mengatasi masalah itu, pihaknya akan memperbanyakkan lagi kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi seperti Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
"Selain itu, kita juga sentiasa mengadakan perbincangan dengan pihak sekolah, menubuhkan kelab pencegahan jenayah dan menganjurkan kempen serta bengkel di sekolah," katanya.
- Bernama

