Kumpulan hak asasi manusia, Suaram berkata pihak polis gagal menyiasat seorang pengawal keselamatan berusia 22 tahun yang didakwa diculik dan hilang sejak Mac lalu dan dibimbangi telah dibunuh.

Pengarah eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy berkata M Rajanthiran dan seorang lagi mangsa dikenali sebagai Mohan yang diambil oleh orang upahan majikannya dari kediaman mereka di Bandar Saujana Putra pada 29 Mac lalu.

"Abangnya, M Yasotharan telah membuat laporan di ibu pejabat polis daerah Kuala Langat pada 30 Mac lepas.

"Salah satu orang upahan yang dikenali sebagai Suresh Kumar telah mengugut Yasotharan untuk membayar RM30,000 bagi membebaskan mangsa dan juga meminta Yasotharan untuk menarik balik laporan (polis) itu," kata Sevan dalam memorandum itu.

Terdahulu, Suaram menyerahkan memorandum ke Bukit Aman. Wakil kepada ketua polis negara menerima memorandum berkenaan.

'Kabel, pemotong, wayar'

Sevan mendakwa pada 2 April, Mohan yang berjaya melarikan diri daripada penculik ketika berada di sebuah kereta di Jalan Duta, mendedahkan pengalaman yang dihadapi dirinya dan Rajanthiran pada hari mereka diculik.

"Mohan memberitahu mereka dibawa ke suatu tempat yang tidak diketahui dan mereka telah dipukul. Beliau berkata kira-kira sepuluh lelaki telah menyerang Rajanthiran tanpa menyoalnya.

"Alat yang digunakan untuk menyeksanya termasuklah kabel, pemotong dan beberapa wayar. Rajanthiran tidak sedarkan diri dan tidak lagi bernafas.

Sevan berkata Mohan selanjutnya mendakwa apabila Rajanthiran tidak sedarkan diri dan "tidak bernafas", penyerangnya cuba untuk memulihkan semula tetapi tidak berjaya.

Mohan juga mendakwa telah menyaksikan majikan, yang dikenali sebagai Jack, meletakkan Rajanthiran dalam karung yang dipenuhi dengan kiub ais.

Sevan berkata polis telah menangkap Jack dan dia ditahan reman selama tiga hari sebelum dibebaskan.

Beliau berkata pihak polis memberitahu keluarga Rajanthiran bahawa Suresh, yang dipercayai terlibat dalam urus niaga haram, disyaki sedang berada di luar negara.

"Bagaimanapun, Yasotharan melihat Suresh di Selangor dan memaklumkan kepada polis tetapi tiada tindakan lanjut diambil," dakwa Sevan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat, ketika dihubungi, berkata beliau akan mengkaji kes itu terlebih dahulu sebelum memberikan ulasannya.

[Baca berita penuh]