Penganalisis menyifatkan tindakan anggota Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Bhd menawarkan untuk meletakkan jawatan sebagai tidak mengejutkan, malah percaya lebih banyak perubahan akan berlaku di peringkat pengurusan kanan syarikat berkaitan kerajaan.

Perubahan sedemikian juga dianggap biasa terutamanya selepas berlakunya peralihan kerajaan.

“Ia adalah biasa setiap kali kerajaan baharu mengambil alih pentadbiran kerana akan ada misi serta matlamat baharu yang ingin diketengahkan. Syarikat kerajaan Singapura, Temasek Holdings misalnya telah membuat perubahan di peringkat pengurusannya apabila berlaku berlaku pentadbiran kerajaan baharu.

“Saya berasakan, mungkin dengan Khazanah baharu (jika kerajaan menerima peletakan jawatan mereka), Malaysia akan menyaksikan lebih banyak kemasukan dan bakat dari luar negara atau peringkat kedua pengurusan syarikat dana itu boleh mengambil alih pengurusan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Ketua Pelaburan Hermana Capital Bhd, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan kepada Bernama.

Beliau juga menyifatkan perkembangan itu turut berkait dengan hasrat Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Perdana Menteri suka memberi peluang kepada generasi muda. Oleh itu, mungkin beliau mahu melihat muka baharu di sana,” katanya.

Awal hari ini, Khazanah Nasional Bhd mengesahkan laporan berita bahawa semua anggota lembaga pengarah termasuk Pengarah Urusan, Tan Sri Azman Mokhtar telah menawarkan untuk meletakkan jawatan.

Anggota lain adalah Datuk Seri Nazir Razak, Tan Sri Md Nor Md Yusof, Tan Sri Mohamed Azman Yahya, Datuk Mohammed Azlan Hashim, Tan Sri Andrew Sheng Len Tao, Tan Sri Raja Arshad Raja Tun Uda, Datuk Nirmala Menon dan Yeo Kar Peng.

Khazanah dalam satu kenyataan berkata langkah itu akan memudahkan peralihan yang lebih lancar dan teratur di bawah kerajaan baharu.

Dr Mahathir dilaporkan berkata akan ada perubahan dalam syarikat kerajaan berikutan kebanyakan yang dilantik menduduki barisan pengurusan kanan merupakan lantikan politik.

Perdana menteri juga dilaporkan turut menggesa syarikat pelaburan negara itu kembali kepada asas penubuhannya iaitu membantu kalangan Bumiputera.

Mengulas kenyaan Dr Mahathir, Nazri Khan berkata : “Saya tidak faham apa yang beliau maksudkan apabila berkata Khazanah tersasar daripada matlamatnya. Namun, seperti diketahui, Dr Mahathir lazimnya mempunyai matlamat berbeza yang mungkin mahu dikongsi dengan Khazanah baharu.

“Ini mungkin membabitkan usaha memperkasakan ekonomi Bumiputera dalam konteks lain seperti teknologi dan pendidikan.

“Justeru, saya percaya Khazanah 2.0 bakal memiliki elemen sedemikian.”

Pada masa ini, nilai aset yang diuruskan oleh dana pelaburan kerajaan itu berjumlah RM159 bilion yang mana 30 peratus daripadanya dipegang oleh pelabur asing.

Khazanah merupakan dana pelaburan strategik kerajaan yang antara lainnya bertanggungjawab menguruskan aset komersial kerajaan selain melaksanakan pelaburan strategik.

Ia terbabit dalam pelbagai sektor seperti tenaga, telekomunikasi, perbankan, penjagaan kesihatan, pengurusan lapangan terbang, infrastruktur, pelancongan, pembangunan hartanah, penyiaran, pegangan pelaburan dan teknologi.

Antara syarikat tersenarai di bawah portfolio pelaburan Khazanah adalah Telekom Malaysia Bhd, Tenaga Nasional Bhd, CIMB Group Holdings Bhd, Axiata Group Bhd, IHH Healthcare Bhd, Malaysia Airports Holdings Bhd dan UEM Sunrise Bhd.

Setakat 3.20 petang ini, saham beberapa syarikat di bawah portfolio Khazanah didagangkan secara bercampur-campur — CIMB susut empat sen kepada RM5.85, TM turun dua sen kepada RM3.85 manakala Tenaga naik 14 sen kepada RM15.02 dan IHH untung dua sen kepada RM5.99.

- Bernama