Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K'jaan kena kreatif tangani isu pengantin kanak-kanak

PARLIMEN | Anggota Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said berharap kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) lebih kreatif menangani isu perkahwinan kanak-kanak bawah umur.

Ini kerana, menurut bekas menteri undang-undang itu, terdapat peruntukan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Jenayah Seksual Kanak-kanak 2017 yang boleh digunakan bagi menghadapinya.

"Mengikut Akta Jenayah Kanak-kanak 2017, pelaku boleh dikenakan tuduhan. Budak itu berumur 11 tahun.

"Ikut undang-undang sivil jenayah, ia boleh dilaporkan kepada polis mengikut beberapa seksyen dan (jika didapati bersalah) boleh dikenakan hukuman tiga tahun atau lima tahun (penjara)," katanya.

Lebih daripada itu Azalina berkata pasangan yang membenarkan anak mereka dikahwinkan juga boleh diambil tindakan mengikut akta berkenaan.

Oleh sebab itu katanya kerajaan perlu bijak menggunakan ruang yang disediakan oleh undang-undang.

"Saya cadangkan kerajaan lebih kreatif dalam bidang ini," katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

Azalina berkata demikian sebagai mengulas isu perkahwinan kanak-kanak di bawah umur yang menarik perhatian ramai baru-baru ini.

Cabar kerajaan buat pindaan

Sebelum ini, negara digemparkan dengan perkahwinan seorang lelaki 41 tahun dari Gua Musang, Kelantan dengan budak perempuan berusia 11 tahun.

Pada masa ini, undang-undang hanya membenarkan seseorang perempuan berusia 16 tahun - dan lelaki 18 tahun - berkahwin jika mendapat kebenaran hakim mahkamah syariah.

Bagi bukan Islam pula, golongan itu harus mendapatkan kebenaran khas daripada ketua menteri atau menteri besar sesebuah negeri berkaitan.

Selain itu, Azalina turut mengulas mengenai khabar angin mengenai kemungkinan Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-kanak akan ditutup.

Justeru, Azalina merayu kepada kerajaan tidak melakukan tindakan mengikut emosi sebaliknya mengharapkan mahkamah tersebut tidak ditutup.

"Saya tak tahu betul atau tidak, sebab itu saya tegur - kalau ia tutup, tak adillah. Kanak-kanak memerlukan mahkamah khas, hakim khas.

"Saya merayu pada kerajaan, jangan beremosi. Kalau benda itu baik, sambunglah," katanya.

Sementara isu, ketika berucap menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, Azalina turut mencabar kerajaan mengusulkan Seksyen 88A dalam Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) (LRA).

“Saya juga nak tanya mengenai undang-undang (Seksyen) 88A, jika dulu mereka begitu berminat dengan fasal ini, isu ini sering menjadi isu yang begitu besar bagi HARAPAN dulu.

“Inilah masanya komitmen itu wujud di pihak kerajaan kerana kini mereka mempunyai kuasa,” ujar Azalina.

Klausa 88A akta LRA menyatakan kanak-kanak perlu kekal memeluk agama yang dianutinya sebelum ibu bapanya bercerai.

Ia juga akan memberhentikan penukaran agama anak secara sepihak.

Seksyen 88A(1) menyatakan bahawa: “Jika suatu pihak kepada sesuatu perkahwinan telah masuk Islam, agama mana-mana anak dari perkahwinan itu hendaklah kekal sebagai agama pihak-pihak kepada perkahwinan itu sebelum penukaran agama itu, kecuali jika kedua-dua pihak kepada perkahwinan itu bersetuju akan penukaran agama anak itu kepada Islam, tertakluk kepada keinginan anak itu apabila dia telah mencapai umur lapan belas tahun.”

Seksyen itu dikatakan melanggar Artikel 12(4) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan: “agama individu di bawah usia 18 tahun harus diputuskan oleh orang tua atau penjaganya”.

Beberapa pihak berpendapat perkataan ibu-bapa dalam klausa ini bererti mana-mana salah seorang ibu atau bapa, bererti keputusan ibu atau bapa diperlukan untuk memutuskan agama seorang anak.

Lihat Komen
ADS